
RASMI: KOVE 450R DILANCARKAN – 65.3HP, RM33,888
AFY Mobility Industries (AMI) menerusi MDua Motor Sdn Bhd dengan rasminya memperkenalkan KOVE 450R untuk pasaran tempatan dengan harga jualan RM33,888.

Menawarkan reka bentuk streetfighter, 450R merupakan motosikal gaya naked yang digerakkan enjin empat silinder 442.9cc DOHC. Hasilnya, motosikal ini menawarkan 65.3hp pada 12,000rpm dan 40Nm pada 9,000rpm.
KOVE mendakwa bahawa 450R ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 205km/j dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 4.5L/100km. Berat keseluruhan jentera ini hanyalah 164kg.

Atas kertas, 450R ini merupakan motosikal naked paling berkuasa dalam portfolio KOVE dan turut dipadankan dengan ciri moden termasuk fork USD depan dengan jarak gerak 115mm dan monoshock belakang dengan pelarasan pra beban.

Pakej brek pula terdiri dari cakera brek berkembar dengan brek 2-piston depan dan satu piston di belakang. ABS dwi-saluran juga didatangkan secara standard. Antara perincian lain ditawarkan termasuk skrin TFT dan tangki bahan api berkapasiti 17L.
Menariknya, kami difahamkan bahawa Malaysia merupakan negara pertama selain China yang menerima model baharu ini.
GALERI: KOVE 450R


















