Buletin

SINGAPORE MOTORSHOW 2019: SUBARU FORESTER E-BOXER – SUV HYBRID, CIRI EYESIGHT & LEBIH MEWAH

Buat pertama kalinya, Motor Image memperkenalkan kepada umum Forester e-Boxer, sebuah model SUV hibrid yang sarat dengan pelbagai teknologi termaju di Asia Tenggara.

Untuk makluman, Subaru melancarkan generasi kelima Forester ke pasaran Jepun pada Jun tahun lalu, sebelum varian e-Boxer pula menemui pengguna di sana sekitar suku keempat 2018.

Dipamerkan buat pertama kali untuk tatapan pengunjung acara Singapore Motorshow 2019, Forester e-Boxer membuktikan kesungguhan Subaru dalam menawarkan jentera lebih mesra alam.

Sama seperti kebanyakan model hybrid lain, jentera ini menggunakan gabungan enjin petrol dan motor elektrik. Enjin bersesaran 2.0 liter itu telah disemak semula untuk menghasilkan kuasa maksimum 145PS dan tork 188Nm.

BACA: SUBARU IMPREZA STI EDISI DIAMOND. PALING BERKUASA SETAKAT INI. MALANGNYA UNTUK AFRIKA SAHAJA

Motor elektrik pula menyumbang kuasa mencecah 13.6PS dan tork 65Nm. Rangkaian kuasa itu kemudian dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT. Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi pacuan semua roda (AWD) bersimetri.

Reka bentuk serta talaan motor elektrik dan transmisi CVT membolehkan SUV tersebut dihidupkan tanpa perlu menyalakan enjin pembakaran dalaman.

Hasilnya, teknologi e-Boxer mampu memberi bacaan penjimatan bahan api sehingga 5.4 liter bagi setiap 100km/j. Ini bermakna ia 40 peratus lebih jimat berbanding enjin Forester yang lama.

Pek bateri lithium-ion dipasang pada bahagian kargo. Bateri itu akan mengecas sendiri apabila brek ditekan atau kereta sedang berjalan. Perbezaan ketinggian lantai kargo di antara versi hibrid dan petrol membolehkan Forester e-Boxer menawarkan lebih 500 liter ruang meletak barangan.

Forester e-Boxer dibangunkan di atas Platform Global Subaru (SGP) yang direka sejak awal lagi untuk kegunaan model konvensional, hybrid, plug-in hybrid dan elektrik.

SGP dilengkapi teknologi keselamatan dan mengelak bahaya Subaru Eyesight yang telah dipertingkatkan. Ia juga menjadi kenderaan pertama yang menampilkan sistem Pemantauan Pemandu Subaru.

Teknologi EyeSight® terdiri daripada ciri keselamatan brek pra-perlanggaran automatik, pengurusan pendikit pra-perlanggaran, kawalan jelajah adaptif, lead vehicle start alert, pelepasan lorong dan lane sway warning.

Saya sempat bertanya adakah model ini akan dilancarkan ke pasaran tempatan. Namun, jawapan yang diterima dari sumber sahih memberitahu Motor Image hanya akan memperkenalkan Forester dengan enjin biasa terlebih dahulu.

Manakala pengenalan varian hibrid e-Boxer akan diteliti. Jika dibawa masuk, ia akan menjadi SUV hibrid pertama yang dilancarkan di Malaysia.

GALERI:

Google ads
Back to top button