Buletin

SISTEM PENGECAS NISSAN INI MAMPU CAS PENUH EV DALAM MASA 2 JAM!

Anda fikir saya ada masa untuk sakit kepala? Anda fikir saya ada masa untuk membeli kereta elektrik kemudian bercinta untuk menunggunya habis dicas?

Usah risau, kerana Nissan telah memikirkan semua itu. Sedia maklum di antara rungutan pengguna tentang EV ialah masa yang begitu lama perlu diambil untuk pengecasan penuh sebelum ia mampu bergerak jauh.

Seiring dengan perkembangan teknologi, Nissan telah berjaya membawakan sistem pengecasan yang dapat membantu mengurangkan rungutan tersebut. Sistem dimaksudkan ialah unit pengecas baharu 2018 untuk kegunaan rumah dan pejabat yang cekap dan pantas.

Terdapat dua jenis pengecas iaitu Nissan 7kW dan 22kW. Pengecas rumah Nissan kelajuan berganda (double speed) 7kW mampu menjalankan tugasnya dengan mengecas penuh EV dalam masa 5.5 jam sahaja. Tempoh tersebut 70 peratus berkurangan berbanding teknologi pengecasan sebelum ini.

Satu lagi jenis ialah Nissan 22kW yang lebih cekap dan pantas dengan pengecasan penuh kenderaan elektrik Nissan hanya mengambil masa dua jam sahaja. Ini dah masuk kawasan bateri telefon pintar. Direka untuk pemilik bisnes dan barisan kenderaan, pengecas super pantas ini turut boleh dimiliki oleh pengguna individu yang mahu menikmati kepantasan tersebut.

Selain itu, Nissan turut mempunyai satu lagi teknologi iaitu sistem simpanan tenaga untuk kediaman. Sistem ini adalah lanjutan kepada kejayaan perkakasan xStorage. Sistem kediaman ini direka khusus untuk pemilik EV dengan hanya menyambung kabel ke dinding untuk mengecas. 

Kelebihan perkakasan ini terletak pada sistem simpanan tenaga terbina (built in) yang dapat menyimpan dan menghasilkan tenaga dari kuasa solar atau matahari. Teknologi ini menjawab telahan mereka yang khuatir akan kos eletrik akan turut meningkat apabila kereta menggunakan kuasa elektrik.

Sistem ini diasaskan dari produk Nissan Xstorage sedia ada yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat Eaton dan ia telah pun terjual lebih dari 1,000 unit di Eropah dalam masa tiga bulan dengan 5,000 unit dijangka akan terjual sehingga penghujung Mac 2018.  

Nissan mempunyai sasaran yang tinggi apabila mahu menjual 100,000 unit tenaga rumah di Eropah pada penghujung tahun fiskal 2020. Menarik bukan? Mahu tidak mahu, inilah teknologi dan walaupun kos pemasangan perkakasan dan sistem solar agak tinggi namun ia boleh ditebus dengan kos bahan api kenderaan.

Setiap minggu tidak perlu mengisi minyak atau setiap bulan tidak perlu pening kepala sebab bil elektrik melambung. Solar – bateri – kereta.

BACA: 2018 NISSAN LEAF SERBA BARU DILANCARKAN, 378KM SEKALI CAS

Google ads
Back to top button