Buletin

MITSUBISHI XPANDER LAKU KERAS DI INDO – 23 RIBU UNIT DALAM MASA 2 BULAN!

Hendak buat kereta menarik, padu, laju dan legenda kena ada modal besar. Modal yang besar pula datangnya dari model yang laku keras. Model yang laku keras pula tidak semestinya datang dari kereta yang menarik, padu, laju dan legenda sebab biasanya pasaran macam ini memang kecil.

Walaupun model kebanyakan sentiasa dibahan misalnya Vios dan sebagainya tetapi itu produk perahan (cash cow) Toyota. Untung dari model seumpama itu yang digunakan untuk ‘bermain’ dengan model hebat seperti GT86, Lexus LFA atau mengepam modal untuk bersaing dalam WRC.

Model-model hebat begini idaman ramai yang jualannya kecil tetapi tetap dikeluarkan untuk jurutera bermain dengan teknologi dan sebagai alat penjenaman.

Senang cerita, jual apa yang pelanggan mahu dan tidak menghairankan apabila Porcshe mempunyai dua model SUV iaitu Macan dan Cayenne. Selepas ini, Lamborghini pula dengan SUV Urus. Selepas itu mungkin Lotus pula keluarkan SUV. Dari segi jualan pula, model SUV punyalah laku sampai beribu kali ganda dari model dua pintu. Itulah hakikatnya.

Ini contoh terbaru dari Mitsubishi, Lancer tiada pengganti apatah lagi hendak bercerita tentang Evolution. Dan selepas lama melihat syarikat lain seperti Toyota, Nissan dan Daihatsu meraih jualan yang banyak dari model MPV mereka akhirnya Mitsubishi melancarkan Xpander pada Ogos lalu.

Keputusan untuk membangunkan Xpander itu tepat malah dilihat paling cemerlang, gemilang dan terbilang yang pernah dibuat Mitsubishi selepas Lancer GT lama dahulu. Model lain seperti Mirage hanya sekadar menyertai persaingan dan tiada impak besar pun. Ada kenalan atau jiran-jiran anda yang terpesona dan mengidam-idamkan Mirage? Attrage?

Sejak dilancarkan pada Pameran Kenderaan Antarabangsa GAIKINDO Indonesia (GIIAS) pada Ogos lalu, tempahan Xpander sudah pun melebihi 23,000 unit dan ia jumlah menggagumkan. Malah, sebanyak lima ribu tempahan diterima semasa GIIAS sendiri dan ia rekod paling besar dicatatkan sejak 2010.

Kejayaan awal ini diumumkan oleh Mitsubishi sempena Xpander pertama yang keluar dari kilang baharu di Bekasi, Jakarta. Menurut Ketua Pegawai Operasi Mitsubishi Motors Corporation (MMC), Trevon Mann, sambutan hebat itu menunjukkan kesesuaian Xpander dalam memenuhi citarasa pelanggan Indonesia.

Ia dibangunkan berdasarkan citarasa pengguna Indonesia yang mahukan kenderaan penumpang berkualiti tinggi dan boleh diharapkan. Xpander juga dibina berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh Mitsubishi sejak sekian lama.

Selari dengan permintaan hangat, Mitsubishi Motors sekarang ini berusaha keras bagi menyiapkan tempahan pelanggan secepat mungkin termasuk memperkenalkan shift kedua di kilang Bekasi. Selepas dilancarkan di Indonesia, Mitsubishi Motors merancang untuk memasarkannya di negara Asean dengan eksport pertama akan bermula pada awal 2018.

Bila dah laku keras serata Asean nanti bolehlah kumpul modal untuk bangunkan semula Lancer Evolution kan. Kesian Subaru WRX dan Honda Civic Type R tak ada geng.

Berikut ialah butiran spesifikasi dan harga Mitsubishi Xpander:

  • Xpander Ultimate (AT) Rp245,350,000 (RM78,826)
  • Xpander Sport (AT) Rp237,150,000 (RM76,185)
  • Xpander Exceed (AT) Rp224,950,000 (RM72,250)
  • Xpander Exceed (MT) Rp214,550,000 (RM68,900)
  • Xpander GLS (MT) Rp208,550,000 (RM66,978)
  • Xpander GLX (MT) Rp189,050,000 (RM60,715)

BACA: MITSUBISHI BAKAL PERKENALKAN EVO BARU?

BACA: DARIPADA 7 MENJADI 9 – INI KISAH MITSUBISHI LANCER EVOLUTION

Google ads
Back to top button