Buletin

SUBARU BAKAL DEDAH KONSEP STI E-RA DI TOKYO AUTO SALON 2022

Pada acara Tokyo Auto Salon 2022 yang akan berlangsung pada bulan depan (14 Januari), Subaru bakal mendedahkan kepada umum beberapa buah model konsep, termasuk sebuah konsep kenderaan elektrik STI E-RA.

Tidak banyak info yang boleh dikorek selain daripada penggunaan trenkuasa elektrik, namun STI E-RA ini dikatakan sebuah EV berprestasi tinggi dengan elemen rekaan yang berbeza berbanding WRX baharu.

Anda boleh lihat sendiri rekaan lampu utama dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk C yang jelas dan nyata, ketiadaan gril hadapan konvensional, serta identiti skup hud yang ada pada model-model STI.

Selain daripada itu, ia juga turut menampilkan logo STI berwana merah beriluminasi yang menggambarkan karakteristik sporti model STI E-RA ini.

Besar kemungkinan, ia akan dilengkapi dengan trenkuasa motor elektrik berkembar (satu untuk setiap gandar), serta sistem pacuan semua roda yang menjadi satu kelaziman pada model-model Subaru.

Selain daripada STI E-RA, Subaru juga bakal membawakan tiga model konsep STI Performance, terdiri daripada model WRX S4, Levorg dan juga Subaru BRZ beserta model jentera lumba BRZ GT300.

Google ads
Back to top button