
TOYOTA GR SUPRA A91-CF EDITION, 600 UNIT SAHAJA UNTUK AMERIKA UTARA!
Generasi kelima Toyota Supra yang diperkenalkan pada tahun 2019 sememangnya menarik perhatian ramai. Biarpun berkongsi dengan BMW, ramai pembeli tidak kisah dan tetap menghargainya.
Terbaru Toyota memperkenalkan GR Supra A91-CF Edition dan ianya bukan untuk semua, 600 unit sahaja dikeluarkan khusus untuk pasaran Amerika Utara.
Selain edisi istimewa ini, GR Supra ditawarkan dalam varian 3.0, 3.0 Premium dan 2.0. Varian paling kecil itu untuk pelanggan mahukan model pertengahan di antara GR86 dan Supra 3.0.
Prestasi Supra 2.0 pun tidak kurang hebatnya, pecutan dari 0 hingga 97 km/j hanya memerlukan lima saat.
Toyota GR Supra A91-CF Edition
Dari segi rangkaian kuasa, GR Supra A91-CF Edition digerakkan enjin 3.0 liter berkuasa 382 hp dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.9 saat sahaja.
Model sebelum ini iaitu GR Supra 3.0 2021 sebenarnya telah dinaikkan kuasa enjin dari 335 hp.
Daya kilas pun sama naik iaitu dari 495 Nm dari 1,600 rpm hingga 4,500 rpm kepada 499 Nm dengan julat 1,800 rpm hingga 5,000 rpm.
Turut diubah bagi model Supra 3.0 ialah pemasangan pendakap aluminum ringan bagi meningkatkan ketegaran lateral serta bump stop depan dan belakang dengan penalaan redaman baharu.
Lagi perubahan dibuat ialah pengaturcaraan pada stereng berkuasa elektrik (EPS), Adaptive Variable Suspension (AVS), Kawalan Penstabilan Kenderaan (VSC) dan pembeza aktif (Active Differential).
Komponen gentian karbon dan luaran
GR Supra A91-CF Edition menggunakan komponen gentian karbon buatan tangan seperti splitter depan dengan canard lebih besar dan rocker sisi.
Bahagian belakang dipasang spoiler jenis duckbill bagi memerangkap angin di bahagian atas dan canard lebih besar pula di sebelah bawah bampar.
Kit aerodinamik tersebut bukan untuk kosmetik, ianya mempunyai fungsi bagi mempertingkatkan daya mendapan dan juga kestabilan sama ada ketika pemanduan harian atau di litar.
Roda saiz 19 inci pula mempunyai tekstur warna hitam kusam khas dan disuaikan dengan warna luaran kelabu kusam Phantom, Absolute Zero White dan Nitro Yellow.
Dalaman warna merah dan hitam
Pada bahagian dalaman, varian istimewa ini didatangkan dengan tema berwarna merah dan hitam dengan balutan Alcantara dan kulit, sulaman merah dan kemasan gentian karbon.
Kerusi varian ini boleh dilaras dengan 14 tetapan berkuasa dan mempunyai fungsi pemanas. Pemandu memegang stereng balutan kulit dan kaki memijak pedal sport.
Untuk sistem hiburan dan pelbagai maklumat, Toyota memasang skrin sentuh saiz 8.8 inci dengan kawalan pad sentuh, dan sambungan tanpa wayar Apple Car Play.
Sama seperti GR Supra 3.0 Premium, sistem audio JBL® 500W dengan 12 pembesar suara dilengkapi sebagai ciri standard.
Sistem keselamatan
Kesemua GR Supra mempunyai sistem keselamatan seperti Sistem Pra Pelanggaran dengan Pengesanan Pejalan Kaki, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Lampu Puncak Automatik dan Maklumat Had Kelajuan.
Lagi sistem keselamatan boleh dilengkapi melalui pakej tambahan.
Harga lebih tinggi
Sebagai sebuah edisi istimewa, Toyota GR Supra A91-CF Edition disyorkan untuk dijual pada harga USD 63,280 (RM264,826) berbanding USD 54,790 (RM229,296) untuk GR Supra 3.0 Premium.
Varian lebih bawah ialah GR Supra 3.0, dan GR Supra 2.0 yang dijual pada USD 43,290 (RM181,168).
Kepada yang berminat, seperti dikatakan tadi hanya 600 unit sahaja untuk pasaran Amerika Utara.
- BACA: TOYOTA C+pod – KECIL DARIPADA ‘KEI CAR’, PACUAN RWD!
- BACA: TOYOTA TRD DESERT CHASE TUNDRA, INI BARU PADU!
- BACA: APA YANG ANDA NAK TAHU TENTANG TOYOTA ALTEZZA?