
PEMBELI COUNTACH MODEN ADA SIMPAN COUNTACH KLASIK DALAM GARAJ – LAMBORGHINI
Anda (dan juga kawan-kawan anda) mungkin tidak bersetuju dengan cara Lamborghini ‘menghidupkan’ kembali nama klasik Countach dalam dunia moden.
Tahukah anda, pereka asal model Countach, Marcello Gandini juga dilaporkan tidak pernah mengiktiraf projek membangunkan semula Countach ini.
Namun apa jua pandangan umum terhadap model ini, yang pasti 112 unit Lamborghini Countach LPI 800-4 sudah pun mempunyai pemilik masing-masing.

Ya, kesemua unit yang dilengkapi dengan nadi hibrid V12 6.5 liter berkuasa 803 hp itu sudah habis terjual sebelum sempat Lamborghini mendedahkan projek itu secara rasmi.
Lebih menarik (dan tidak mengejutkan pun sebenarnya) apabila majoriti pembeli model Countach LPI 800-4 ini sebenarnya sudah pun memiliki model asal Countach yang klasik itu.
Untuk golongan-golongan kayangan ini, Lamborghini turut menawarkan program penyesuaian yang membolehkan tiada dua unit yang keluar dari kilang Sant’Agata mempunyai warna, upholsteri serta spesifikasi kelengkapan yang serupa.

Lamborghini akan mula mengedarkan Countach LPI 800-4 yang sudah siap kepada pemiliknya menjelang suku pertama tahun depan.