Buletin

SUPERCAR PADANG PASIR – ZAROOQ SANDRACER 500GT MULA DIPRODUKSI DI UAE 

Produksi jentera off-road berkuasa tinggi, Zarooq SandRacer 500GT telah dimulakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Ia sebelum ini diperkenalkan sebagai model konsep pada acara Abu Dhabi Grand Prix 2015. SandRacer 500GT direka oleh Anthony Jannarelly, individu sama yang bertanggungjawab melakar Lykan HyperSport.

Sementara firma talaan terkenal, Mansory menyediakan badan gentian karbon dan ruang kabin yang mewah.

Berbeza dengan kereta-kereta lain, model produksinya lebih ekstrem berbanding jentera konsep.

Sewaktu model konsep, ia menggunakan enjin V6. Namun, model produksi itu bakal dijana oleh enjin V8 bersesaran 6.2 liter yang telah ditala untuk menghasilkan kuasa mencecah 525hp dan tork 660Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear sequential enam kelajuan.

Dengan hanya seberat 1,300kg, SandRacer 500GT sememangnya cukup pantas di atas jalan raya mahupun laluan off-road. Jadi tidak hairanlah jika ia digelar sebagai supercar apabila meluncur di padang pasir. Lebih menarik lagi, ia sah untuk dipandu di atas jalan raya di UAE.

Kenderaan tersebut menggunakan suspensi perlumbaan daripada Intrax. Ia membolehkan pengguna merendahkan kedudukan kenderaan untuk kegunaan di atas jalan raya biasa dinaikkan apabila perlu beraksi di laluan lebih ruggged.

Setakat ini, tiada sebarang petanda bahawa SandRacer 500GT akan ditawarkan di pasaran luar selain UAE. Harga yang ditawarkan ialah sekitar AS$450,000 (RM1.9 juta) seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button