Buletin

MANSORY MERCEDES-BENZ G-CLASS VIVA EDITION. TERHAD 10 UNIT SAHAJA

Sejak beberapa tahun lalu, syarikat talaan dari Jerman, Mansory telah melakukan modifikasi terhadap model Mercedes-Benz G-Class.

Terbaharu, Mansory mendedahkan karya Viva Edition yang terhad kepada 10 unit sahaja.

Perubahan ketara yang dapat dilihat pada modifikasi berkenaan adalah bodykit unik dilengkapi lencana Mansory, bampar baharu dan penambahan lampu utama LED di bahagian hadapan.

Pakar aftermarket itu turut melakukan perubahan pada hud jentera agar lebih menarik perhatian.

Pada bahagian sisi pula, ia hadir dengan saluran gentian karbon baharu di belakang tayar hadapan dan set rim unik berwarna hitam sekali gus menyerlahkan lagi sisi garang jentera itu.

Beralih ke bahagian belakang, jentera tersebut didatangkan penutup tayar ganti Mansory yang unik, lencana hitam dan bampar baharu dengan ventilasi udara dikemas kini.

Viva Edition turut mendapat sentuhan warna hitam pada bahagian bumbung dan dua lampu pemanduan LED dipasang di atas cermin hadapan.

Ruang dalaman, jentera berkenaan kelihatan berbeza berbanding model asli apabila dipadankan trim gentian karbon.

Selain itu, tempat duduk, papan pemuka, roda stereng dan panel pintu hadir dibaluti kulit dengan kombinasi warna hitam serta putih.

Bagaimanapun, Mansory tidak memaklumkan sama ada modifikasi mekanikal dilakukan terhadap jentera itu berbanding model asa G-Class malah tidak mendedahkan harga unit unik berkenaan. -carscoops

GALERI:

Google ads
Back to top button