KOLEKSI KERETA MILIK VIN DIESEL – BELI TUNAI NI, BUKAN LOAN 9 TAHUN
Ada yang tak kenal Vin Diesel ke? Malu la jadi bangsa Mekanika kalau tak kenal kan? Mamat ni dulu boleh la tahan popularnya tapi populariti beliau semakin melonjak tinggi ke angkasa selepas terlibat dengan filem The Fast and The Furious. Sampai budak kecik pun kenal dengan Pakcik Toretto ni.
Selain memandu kereta-kereta hebat dalam filem, apa kereta yang dia pakai kat luar? Ke berlakon je terer padahal kat luar bawak Alza? Mari kita tengok koleksi kereta beliau.
Rupa-rupanya Diesel ni ada banyak kereta dalam koleksinya. Biasalah, duit berkepuk dalam tempayan. Tapi kita pilih sepuluh sudahlah. Tu pun dah penat nak taip satu persatu.
- Mazda RX-7 1993
Kereta pertama pilihan kami dari koleksi beliau ialah Mazda RX-7 keluaran tahun 1993. Sebagai salah satu kereta sports paling panas tahun 90-an, tidak mustahil kenapa ia menjadi pilihan Diesel. Berbekalkan enjin rotary 1.3L, kereta ini mampu menjana 251 hp kuasa untuk membolehkan pemandu yang mahir menjadi jaguh turun bukit di daerah Kanazawa (eh, apa benda aku melalut ni).
Kereta ini bukan untuk pasaran AS tetapi diimpot sendiri oleh Diesel khas untuk koleksi beliau. Cool.
- Plymouth Barracuda 1974
Barang lama jugak ni. Sebaya dengan PokYa. Barracuda berada di pasaran selama 10 tahun dari 1964-1974. Kereta milik Diesel ini merupakan edisi terakhir dan merupakan Barracuda generasi ketiga. Ia menggunakan enjin 5.9L dengan empat unit karburator dan mampu menghasilkan 245 hp. Okeylah tu, kereta tahun 70-an kan?
- Dodge Charger Daytona
Kereta ni memang ikonik habis. Charger Daytona 1969 mula didedahkan sebagai model pameran pada tahun 1964. Unit milik Diesel ini merupakan generasi kedua Charger Daytona dan dikeluarkan pada tahun 1969. Enjinnya? Hmm…7.0L Hemi V8…. Mampos nak bayar cukai jalan kalau kat Malaysia kan?
- Chevrolet Camaro Z28 “F-Bomb”
Macam pernah tengok? Ya, Dominic Toretto pernah memandu kereta ini dalam salha satu filem F&F. Ia dinamakan F-Bomb sempena dengan F-Body Platform. Kereta ini juga menggunakan enjin 5.7L V8 dengan 245 hp kuasa maksima.
- Chevrolet Chevelle 1970
Nombor lima dalam senarai ini ialah Chevrolet Chevelle 1970. Ia merupakan antara muscle car paling popular era 70-an dan menjadi idaman peminat-peminat muscle car di AS. Unit milik Diesel ini menggunakan enjin L72 7.4L Big-Block V8 yang mampu menghasilkan 360 hp kuasa.
- Pontiac Bonneville
Kereta ini sama dengan model yang dipandu oleh Diesel dalam filem XXX (eh, korang jangan fikir bukan-bukan okey). Ia merupakan salah satu daripada kereta yang mempunyai jangka hayat yang sangat panjang keluaran GM. Ia dipasarkan dari tahun 1958-2005 dan Diesel memiliki unit generasi kelima ini dengan profil “Cokebottle” yang sangat popular di kalangan peminatnya.
- Plymouth Road Runner 1970
Ini satu lagi model yang sangat jarang dapat dilihat. Biasanya peminat muscle car terbahagi kepada dua golongan, peminat Dodge Challenger dan peminat Ford Mustang. Tapi satu unit dari koleksi Diesel ini lagi rare kerana ia sangat jarang didapati di pasaran. Plymouth Road Runner ini dikuasakan dengan enjin Hemi 7.0L V8!
- Dodge Charger 1970
Ini merupakan antara tambahan terbaru kepada koleksi Vin Diesel. Ia merupakan hadiah harijadi ke 52 Diesel daripada ahli keluarga F&F untuk beliau. Ini bukannya sebuah Dodge Charger biasa tetapi sebuah Dodge Charger Tantrum! Apa yang istimewanya? Tak ada apa sangat. Hanya enjin Mercury V8 9.0L yang mampu menghasilkan 1,605 hp kuasa. Bala betul.
- Chevrolet Corvette Sting Ray Grand Sport 1963
Mamat ni minat betul dengan Chevrolet kan? Muscle car memang macho habis tapi kereta ni memang lagi cool rasanya. Ia lebih ringan dari Corvette dan mampu memberikan pecutan yang lebih baik. Ia juga ditawarkan dengan sistem electronic ignition yang lebih canggih berbanding dengan model yang sezaman dengannya.
- Lykan Hypersport
Dan inilah dia King dalam koleksi kereta-kereta hebat Vin Diesel. Lykan Hypersport 2014. Sama seperti 7 keajaiban dunia, ia juga diproduksikan sebanyak 7 unit di dunia ini. Pernah tengok dalam filem F&F bukan? Yang melompat dari menara ke menara sebelum jatuh berkecai. Yang tu memang Lykan Hypersport tetapi dihasilkan khusus untuk filem itu. Jadi masih ada 7 unit kereta ini di seluruh dunia dan belum lagi berkurangan.
Kereta bernilai USD3.4 ini merupakan antara hypercar termahal di dunia. Lampu hadapannya bertatahkan batu permata dan pembeli boleh memilih batu permata jenis apa yang menjadi idaman. Bahkan lampu utamanya menggunakan bilah LED yang dihasilkan menggunakan 420 butir berlian!
Ia menggunakan enjin 3.7L turbo berkembar flat-6 yang dibangunkan oleh RUF Automobile dan mempunyai kuasa maksima 780 hp. Fuhh…dahsyat.
Kredit: https://gomechanic.in
BACA: FRANCAIS THE FAST AND THE FURIOUS BAKAL DITAMATKAN SELEPAS FILEM KE-11. BAGUSLAH….