Motosikal

YAMAHA NVX 155 CUSTOM DARI THAILAND – DAH BERSEDIA NAK BUAT BEGINI?

Minggu lepas, Abang Japar berkampung di Thailand membuat liputan Bangkok Auto Salon 2017. Selain daripada pameran, sudah tentu banyak benda menarik yang boleh kita jumpa di Thailand bila bercakap tentang kereta, trak dan motosikal.

Antara yang menarik ialah “pasar” motosikal Poonsap Market yang terletak di daerah Phatum Thani Thailand. Jika dilihat secara keseluruhannya, industri motosikal Thailand samada berkuasa tinggi atau berkuasa rendah, sama-sama meriah.

Tidak dinafikan di Thailand, motosikal Honda sangat popular berbanding Yamaha (jika dibandingkan dengan Malaysia). Malah di rantau ini pun, Honda mendahului semua segmen pasaran motosikal.

Ini mungkin kerana harga jualan yang kompetitif dan barisan produk yang tepat. Sebab itu juga, Yamaha perlukan “senjata” baru untuk kuasai pasaran skuter kelas pertengahan. Jika Honda Cuma ada PCX 150, Yamaha ada N-MAX 155dan yang terbaru, NVX 155 (dikenali dengan nama Aerox di Siam)

BACA: YAMAHA MALAYSIA LANCAR NVX – RM10,500

Sejak dilancarkan pada awal tahun lalu, NVX semakin popular. Diperkenalkan dengan TIGA spesifikasi berbeza, Aerox di Thailand berupaya memikat pembeli menerusi rangkaian pilihan spesifikasi mengikut bajet pengguna.

NVX 155 VVA – model paling asas dan yang paling murah. Bagi model ini, ia sudah dilengkapi lampu LED dan bentangan instrumentasi digital penuh 5.8 inci.

NVX 155 R – juga didatangkan dengan lampu LED dan bentangan instrumentasi digital penuh 5.8 inci. Spesifikasi ketara ialah suspensi belakang dengan tank sekunder (sub tank)

NVX 155 S – Model tertinggi yang ada semua spesifikasi di asas (kecuali sub tank). Ciri yang kelihatan dominan ialah sistem kemasukan/pemula tanpa kunci (keyless) dan sistem brek anti kunci (ABS).

Terbaru, Yamaha Thailand memperkenalkan edisi dengan livery Movistar yang dikenali sebagai varian MotoGP.

Seperti juga motosikal lain, NVX juga menerima banyak jenis pengubahsuaian daripada pemilik yang kreatif. Pertama kali melihat NVX ini viral di laman web Thailand beberapa bulan lepas dan kami rasa ia antara yang paling kemas pernah dilihat.

BACA: HONDA RS150R “GILA” DARI VIETNAM

AEROX – NVX ini menerima pengubahsuaian kosmetik yang ketara. Penggunaan livery ulangtahun ke 60 Yamaha paling menonjol bila disatukan dengan efek gentian karbon pada penutup fork hadapan, penutup CVT di bawah enjin dan penghadang kotoran radiator.

Suspensi hadapannya digantikan dengan jenis teleskopik USD seakan model sportbike moden. Suspensi belakang yang asalnya jenis berkembar telah diubahsuai dengan menempatkan suspensi jenis mono yang merupakan aksesori aftermarket. Tidak dinyatakan bagaimana ia boleh muat tapi kami percaya, fabrikasi besar perlu dibuat kerana suspensi ini bukan direka untuk skuter. Ia bukan menghubungkan badan dan lengan ayun (swing arm) tetapi badan dan enjin.

Susah? Sudah tentu. Tetapi ia tidak mustahil di Thailand kerana mengikut pengamatan kami, bengkel kecil pun banyak kelengkapan mesin yang canggih. Menghasilkan pegas (spring) berbeza-beza dengan beban sebuah skuter juga boleh dibuat dengan cepat.

Bahagian roda hadapan juga kelihatan cakera brek yang lebih besar. Ia disatukan dengan pengangkup brek berkembar dan baket buatan khas. Sekali imbas, nampak macam ia keluaran kilang, itulah kehebatan kejuruteraan yang teliti tuan-tuan.

Enjin tidak diusik sementara aspek kuasa hanya melibatkan pemasangan set ekzos lengkap SC Project dari siri MotoGP. Melihat pada kemasan paip sesalur seakan titanum, kami rasa ini produk tiruan, atau cap ayam. Tapi sekali lagi, kualiti binaannya memang boleh dipuji.

Antara pengubahsuaian lain yang dibuat ialah tangki simpanan cecair brek, tuil-tuil brek, kerusi jenis potongan custom dan skru-skru kemasan titanium.

Cantik? Sudah tentu, sebab NVX yang keluar dari kilang pun memang nampak sangat sporty. Abang Japar rasa, monoshock tu akan jadi satu trend tak lama lagi.

Abang Japar rasa lah…

SUMBER AUTOBIKES

GALERI

 

 

Google ads
Back to top button