Buletin

XIAOMI YU7 AWD: SUV ELEKTRIK BAHARU DENGAN JARAK GERAK 760KM – HARGA SEKITAR RM164K

Xiaomi bersiap sedia untuk menggegarkan pasaran kenderaan elektrik (EV) dengan model SUV pertama mereka, Xiaomi YU7.

Berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), SUV elektrik ini bakal menawarkan varian pacuan roda belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD), dengan jarak pemanduan sehingga 760km berdasarkan kitaran CLTC.

Spesifikasi dan Prestasi Mengagumkan

YU7 AWD dilengkapi dengan dua motor elektrik berkuasa tinggi—motor hadapan dengan kuasa maksimum 295hp dan motor belakang dengan 386hp.

Bateri jenis ternary lithium yang digunakan menawarkan tiga pilihan jarak pemanduan: 670km, 750km, dan 760km.

Penggunaan tenaga bagi setiap 100km adalah sekitar 14.8kWh hingga 16.6kWh, bergantung pada varian yang dipilih.

Dengan kelajuan maksimum mencecah 253km/j, YU7 AWD menjanjikan pemanduan yang berkuasa dan efisien.

Setakat ini, maklumat mengenai varian RWD masih belum diumumkan. Namun, berdasarkan sumber, motor elektrik belakangnya mampu menjana sehingga 315hp dan menggunakan bateri lithium iron phosphate.

Versi RWD ini dijangka mampu mencapai kelajuan maksimum 240km/j.

Reka Bentuk dan Teknologi Canggih

Dari segi dimensi, Xiaomi YU7 mempunyai panjang 4,999mm, lebar 1,996mm, tinggi 1,600mm, serta jarak roda 3,000mm, menjadikannya pesaing langsung kepada Tesla Model Y.

Berdasarkan gambar intipan, SUV ini akan hadir dalam beberapa varian seperti Standard, Pro, dan Max.

Selain itu, sistem pemanduan bantuan Xiaomi yang dibangunkan sendiri turut tersedia.

Pelan Pengeluaran

Xiaomi dijangka melancarkan YU7 secara rasmi pada Jun atau Julai tahun ini dengan harga permulaan sekitar 250,000 yuan (kira-kira RM164,000).

Model ini bakal menjadi sebahagian daripada strategi besar syarikat dalam mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran EV.

Sebagai perbandingan, model sedan pertama Xiaomi, SU7, telah mencatatkan penghantaran melebihi 20,000 unit selama empat bulan berturut-turut.

Xiaomi juga telah menambah 16 lagi pusat jualan pada bulan lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 216 kedai di 64 bandar di China.

Menjelang 2025, Xiaomi menyasarkan penghantaran tahunan sebanyak 300,000 unit, dan YU7 bakal memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat tersebut.

Google ads
"
"
Back to top button