BuletinMotosikal

TAHUKAH ANDA HONDA TYPE R DAN FIREBLADE SUDAH BERUSIA 25 TAHUN?

Jika mahu menjawab soalan mengikut tajuk artikel ini, saya pun tidak tahu bahawa kedua-dua legenda itu sebenarnya sudah berusia 25 tahun. Rasa seperti semalam Type R dan Fireblade diperkenalkan dunia.

Sempena usia tersebut, Honda UK akan menyambut jubli perak Type R dan Fireblade di acara Goodwood Festival of Speed 2017. Honda Civic Type R sebenarnya belum lagi tiba di bilik pameran di UK dan sempena pesta itu, Honda akan melakukan debut sulung model tersebut serta Fireblade dengan grafik khas.

Civic Type R bukan sahaja untuk ditayangkan secara pegun kepada umum malah bakal digunakan untuk perlumbaan di bukit Goodwood itu. FK8R akan dipandu oleh juara tiga kali Kejuaraan Kereta Touring British (BTCC), Matt Neal dan Gordon Shedden. Selain daripada itu, kereta FWD terpantas di Nurburgring tersebut akan turut dipandu oleh tetamu istimewa pada tengah hari Sabtu.

BACA: HONDA CIVIC TYPE-R 2017 – KERETA PRODUKSI PACUAN RODA HADAPAN TERPANTAS DI LITAR NURBURGRING

BACA: SI PELURU KELABU – HONDA CIVIC EG B16 TURBO

Honda Type R pertama kali dilahirkan di muka bumi pada generasi pertama NSX tahun 1992 dan ia sebenarnya untuk pasaran Jepun sahaja. Ia juga sebenarnya dibangunkan untuk kegunaan di litar dengan fokus utama iaitu mengurangkan berat dan memaksimumkan prestasi. Sejak dari itu, terma dan spesifikasi Type R telah digunakan pada Integra, Accord dan Civic.

Selain Civic Type R, Honda mempunyai agenda melalui CBR1000RR Fireblade. Ia bakal menggunakan tema Dare to be Different dan bakal ditunggang oleh duta Honda yang juga seorang wanita iaitu Jenny Tinmouth. Beliau ialah bekas pelumba Honda BSB dan pemegang rekod pusingan wanita di Isle of Man.

Insiatif Dare to be Different sebenarnya dimulakan oleh bekas pelumba F1, Susie Wolff dan ia adalah untuk menghidupkan peluang pelumba wanita dalam sukan permotoran.

Turut bakal dipamerkan ialah barisan Fireblade istimewa dari pelbagai model sempena ulang tahun ke 25 motosikal ikonik Honda itu. Pada acara Goodwood tahun lepas, Honda membawakan Honda NSX dan motosikal Africa Twin.

Goodwood Festival of Speed akan berlangsung dari 29 Jun hingga 2 Julai depan di Sussex dan dikatakan sebagai pameran kenderaan ‘tidak rasmi’ UK.

Google ads
Back to top button