BuletinMotosikal

NICKY HAYDEN – SATU KENANGAN UNTUK THE KENTUCKY KID

Seperti yang diberitakan sebelum ini, Nicky Hayden atau terkenal dengan nama jolokan the Kentucky Kid telah meninggal dunia. Mendiang terlibat dengan kemalangan sewaktu berbasikal di Itali pada 17 Mei, seminggu sebelum pusingan WorldSBK dilangsungkan di Donnington Park, United Kingdom.

Nicholas Patrick Hayden meninggal dunia pada hari Isnin, 22 Mei 2017 dalam usia 35 tahun. Berikut ialah sejarah mendiang.

Nicky dilahirkan di Owensboro, Kentucky, Amerika Syarikat pada 30 Julai 1981. Beliau adalah anak kepada pasangan Earl dan Rose Hayden yang memiliki lima orang cahaya mata. Nicky adalah anak yang ketiga dengan dua orang abang dan dua orang adik perempuan.

Kegilaan pada motosikal bukan sahaja dimiliki oleh Nicky malah seluruh ahli keluarganya. Selepas sahaja mampu berjalan, azamnya ialah mahu menjadi juara dunia – suatu yang berjaya dicapainya pada tahun 2006.

BACA: JUARA DUNIA MOTOGP NICKY HAYDEN MENINGGAL DUNIA, DIREMPUH KERETA KETIKA BERBASIKAL DI ITALI

Walaupun dibesarkan di ladang dengan pelbagai haiwan ternakan tetapi Nicky dan keluarga sering bersiar-siar, bukan untuk saja-saja makan angin tetapi menonton perlumbaan, bermula di lokasi berhampiran dan akhirnya ke serata negeri AS.

Apabila meningkat dewasa dengan kareer perlumbaan yang semakin berkembang dan menjelajah dunia, Nicky akan sentiasa pulang ke kampung asal di Owensboro atau nama singkatannya OWB.

Nicky menerima pendidikan awal di Precious Blood Elementary School, Owensboro Catholic Middle School dan Owensboro Catholic High School.

Memandangkan Nicky berasal dari persekitaran ladang, kerja awalnya juga melibatkan bidang tanah tersebut dengan membantu bapa saudaranya. Dari situ sikap sikap gigih Nicky terbentuk dan karakter tersebut turut dikenali sepanjang kareer perlumbaan beliau.

Walaupun sudah menjadi bintang dunia namun Nicky tetap membumi dan kekal berhubung dengan rakan-rakan sejak dari kecil. Beliau turut membantu ramai bakat-bakat pemuda tempatan dalam merealisasikan impian mereka.

Kerjaya Nicky sebenarnya bermula sebagai pelumba amatur di litar motorcross dan seterusnya beralih ke litar lumba. Beliau menyertai perlumbaan AMA Grand National dan siri perlumbaan Superbike AMA. Pada 1999, Nicky menjuarai AMA Supersport dan pada 2002 memenangi AMA Superbike dengan pasukan American Honda.

Beliau diangkat ke siri perlumbaan FIM MotoGP mewakili pasukan Repsol Honda sebelum memenangi kejuaraan dunia pada 2006. Selain Honda, Nicky turut menunggang untuk Ducati dan Aspar Racing dalam MotoGP sebelum beralih ke Kejuaraan Superbike Dunia FIM (WorldSBK) bersama pasukan Ten Kate Squad pada tahun lepas.

Pada pusingan keenam WorldSBK di Sepang pada Jun tahun lepas, Nicky menduduki tempat kedua pada perlumbaan pertama pada Sabtu dan menjuarai perlumbaan kedua pada Ahad. Dan itulah pencapaian gemilang terakhir Nicky di Sepang.

Sepanjang kareer Nicky, karisma yang dimiliki mendiang telah menarik ribuan peminat dari serata dunia manakala dedikasi serta sikapnya yang profesional pula meraih hormat dari pasukan, rakan sepasukan dan juga pesaing.

Bagi mereka yang mengenali Nicky secara rapat, mendiang ialah seorang pemurah, baik hati dan suka berjenaka. Nicky sentiasa tersenyum dan ini boleh dilihat melalui rakaman-rakaman foto, dan sentiasa mempunyai masa untuk berkomunikasi dengan orang lain walaupun yang tidak dikenali.

Nicky juga suka menari, memakai kostum yang pelik dan menyakat orang.

Selain daripada itu, di kala pelumba Amerika lain yang terlibat dalam perlumbaan antarabangsa berhijrah ke luar negara, Nicky pula sentiasa pulang ke kampung halaman selang satu perlumbaan, beliau menetap di apartment di tingkat atas garaj milik ibubapanya.

Walaupun selepas memiliki kediaman sendiri di lokasi berdekatan dan tidak terlibat dalam acara luar, Nicky tetap konsisten hadir pada pukul enam petang untuk makan malam di rumah ibunya.

Beberapa tahun lepas, Nicky telah membeli dan membaik pulih bangunan lama di tasik Owensboro dan diberi nama Victory Lane Lodge. Disitulah tempat keluarga beliau berkumpul untuk pelbagai majlis, dari perjumpaan hari Ahad hingga lokasi perkahwinan.

Nicky sukakan kanak-kanak dan tidak harian begitu disukai oleh anak-anak saudaranya. Beliau turut gembira apabila dapat bertemu temannya Jacqueline Marin dan mereka telah mengikat tali pertunangan pada tahun lepas.

Kentucky kid telah pergi meninggalkan ibu bapanya, Earl dan Rose, adik beradik beliau, Tommy, Jenniger, Roger, Kathleen serta anak-anak saudara beliau, Olivia, Klaudia, Vera, Kyla Jo, Kate dan Colt.

Dengan pemergian Nicky, ahli keluarga beliau telah menubuhkan tabung kebajikan yang diberi nama Nicky Hayden Memorial Fund. Tabung itu akan digunakan untuk membantu kanak-kanak di kawasan yang Nicky sangat sukai.

Bermula dari ladang, ke serata Amerika Syarikat seterusnya ke pentas dunia, Nicky kembali ke kampung halaman, Owensboro

Selamat tinggal Nicky!

Salam hormat,

Uncle Kent.

Google ads
Back to top button