
TAK TENGOK LAGI TAPI LEBIH 300 PELANGGAN US DAH LETAK DUIT DEPOSIT ROLLS-ROYCE SPECTRE EV
Baharu sahaja diperlihatkan kepada umum beberapa hari yang lalu, nampaknya Rolls-Royce Spectre, EV pertama jenama itu sudah pun mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Menurut laporan CNBC, CEO Rolls-Royce, Torsten Muller-Otvos berkata, lebih 300 orang pelanggan di Amerika sudah pun membayar wang pendahuluan sebelum sempat melihat model tersebut.
Kebiasaannya, Rolls-Royce akan menjemput para pelanggan utamanya untuk melihat terlebih dahulu di ibu pejabat Goodwood sebelum ia dilancarkan secara rasmi.
Menurut Muller-Otvos, mereka yang telah membayar wang pendahuluan untuk Spectre EV itu belum pun sempat melihat dengan lebih dekat model tersebut.
“Setelah mereka melihatnya, mereka berasa lega,” ujarnya.
Namun begitu, Rolls-Royce tidak menyasarkan Spectre sebagai model volum tinggi buat masa ini.
“Dari segi jualan, saya harus kata Cullinan berada di kolum pertama, diikuti oleh Ghost, limosin hebat kami. Spectre mungkin sekali akan menduduki kolum ketiga.
Dari segi spesifikasi, Rolls-Royce Spectre menghasilkan kuasa 577 hp dan daya kilas 900 Nm, serta jarak operasi sejauh 520 km. – CNBC