Artikel Pilihan

ANDA NAK BALIK KE KAMPUNG MASA RAYA? KAMI ADA CADANGAN KREATIF

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri baru-baru ini menegaskan pergerakan merentas daerah yang dibenarkan ketika ini yang boleh dilakukan tanpa had masa tidak akan dibenarkan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. Tambah beliau ia adalah antara aktiviti yang dilarang dalam aktiviti sosial dan sukan.

Ini bermakna harapan untuk pembaca, penulis dan sebahagian besar rakyat Malaysia untuk melakukan perjalanan merentas negeri dan pulang ke kampung halaman bagi sambutan Aidilfitri menjadi semakin kabur. Tapi jangan risau, kami di sini sedang memikirkan cara yang kreatif yang mungkin digunakan oleh rakyat untuk pulang ke kampung semasa COVID 19.

1. Guna Ambulans – penulis pernah terfikirkan berkenaan kaedah ini beberapa tahun lepas ketika ingin pulang ke kampung tanpa kesesakan jalan raya. Pengguna jalan raya pasti akan memberikan laluan dengan mudah apabila siren dipasang dan pihak berkuasa tidak mengesyaki apa-apa apabila ambulans melalui pemeriksaan jalan.

Anda boleh menggunakan idea drama pukul 7 dengan membalut kepala dan tangan untuk berlakon sakit.

2. Guna Van Jenazah – kaedah ini pernah digunakan oleh penduduk di India yang terdesak ingin pulang ke kampung dari kawasan bandar. Pesalah menyamar sebagai orang mati dan mengupah pemandu van jenzah menghantarnya ke kampung. Namun kaedah ini gagal apabila pemandu gagal mengemukakan surat atau permit mengebumikan

Susah jugak ni sebab kematian perlu dilaporkan kepada polis. Mesti abam polis hairan, meninggal di Kuala Lumpur tapi nak kebumikan di Pasir Mas.

gambar Harian Metro

3. Tumpang lori ayam atau ikan – kedua dua makhluk halus ini penting untuk memastikan bekalan makanan sampai kepada semua penduduk. Jadi anda boleh buat satu tong kosong di tengah-tengah sangkar ayam atau ikan tadi. InsyaAllah selamat sampai ke kampung halaman, tapi bau dia ya rabbi semerbak.

Atau cara lain yang mudah anda menyamar sebagai kelindan lori. Pastikan anda hafal nama-nama ikan. Kang kantoi kalau lalu sekatan jalan raya.

4. Lori Roti – 3 4 minggu sudah kecoh apabila sebuah lori roti yang sarat dengan muatan roti hilang berdekatan dengan kilang di Selangor. Namun ajaibnya lori tersebut dijumpai di Kijal, Kemaman keesokan harinya. Jadi ideanya, anda boleh menyamar menjadi kelindan lori penghantaran roti.

Ok la, sampai juga ke kampung. Tapi masalahnya, masa raya nanti ade ke orang makan roti?

5. Naik kapal atau bot – tahukah anda Semenanjung Malaysia dikelilingi oleh lautan yang luas. Hampir semua negeri memiliki pantai. Anda boleh cuba menaiki bot di Selangor, mudik melalui Selat Tebrau dan patah balik ke utara untuk sampai ke pantai timur. Penulis yakin setakat ini tiada sekatan jalan laut dilakukan.

Cuma sediakan beberapa batang pancing sebagai helah jika ada yang bertanya

6. Tumpang lori loader – ia merupakan lori yang digunakan untuk menghantar kereta baru dari kilang ke pusat jualan di seluruh negara. Anda boleh berunding dengan pemandu lori untuk duduk dalam kereta baru dan buka tingkap masa dalam perjalanan.

Tapi pastikan anda berada di bahagian atas, baru susah orang nak nampak dari bawah. Untungnya dengan kaedah ini anda boleh merasa naik kereta baru berbalut plastik, tak payah isi petrol dan tak payah bayar tol.

7. Helikopter – disebabkan ramai rakyat Malaysia gelakkan idea kereta terbang, nah rasakan sekarang. Kalau tak mungkin kita akan terbang bak helang balik ke kampung. Jadi solusinya ialah kita sewa helikopter dan terbang terus ke kampung halaman.

Untuk mengelakkan helikopter dikesan dengan radar DCA, anda boleh cadangkan agar ia terbang rendah ala-ala drama Airwolf tahun 80 an dulu. Tapi yang jadi masalahnya ialah kosnya mahal la. Dan kalau ikut pengalaman penulis, gayat jugak naik heli ni.

8. Kereta api – ya ini langkah terakhir tapi jangan gunakan ETS atau keretapi penumpang biasa sebab mudah terkantoi. Anda boleh tumpang keretapi kargo dari Kuala Lumpur sampai ke destinasi. Setakat ini tiada sekatan yang dibuat di atas landasan keretapi

Tapi kalau naik keretapi kargo memang pastilah lambat, bising pulak tu. Mungkin nak balik ke Kedah pun akan makan masa sehari suntuk.

Sebenarnya kami pun bosan bila tak boleh balik beraya ke kampung, makan ketupat lemang dan rendang. Sebab itulah penulis merapu di sini idea-idea merepek untuk balik ke kampung. Jangan ambil serius, ini sekadar bergurau saja. Jangan korang pergi buat betul-betul pulak ye.

Tags
Google ads
Back to top button