" "
Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG… SUZUKI CAPPUCCINO!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Umum mengetahui bahawa Cappucino adalah sejenis kopi. Namun berapa ramai kah yang mengetahui jentera bernama Cappuccino ? Ye Tuan-Tuan. Sebuah jentera bernama Cappuccino berkod EA11R dikeluarkan oleh Suzuki.

Jentera ini merupakan jentera yang tergolong di dalam golongan “Kei-Car”. Enjin bersesaran kecil serta dimensi badan yang kecil. Memang “Kei-Car” sangat ! Di Jepun, “Kei-Car” mendapat insentif dimana kadar insurans serta cukai jalannya adalah lebih murah daripada jentera biasa.

Walaupun tergolong di dalam golongan “Kei-Car”, jentera ini sebenarnya merupakan sebuah jentera sukan. Senang cerita “Sports Kei-Car”. Hal ini kerana pihak Suzuki memang menjadikan jentera ini sebagai model jentera sukan mereka pada ketika itu.

Kisah bermula pada tahun 1987 dimana pihak Suzuki bercadang untuk membuat jentera sukan. Amat menakjubkan 2 tahun selepas itu konsep Suzuki Cappuccino dipamerkan kepada umum buat julung kalinya di 1989 Tokyo Motor Show.

Reaksi umum pada ketika itu ?

Rata-ratanya terkejut. Gila tak terkejut dengan rupa macam ni. Siapa je boleh jangka.

Kenapa ? Mari kita pergi kepada ciri-ciri jentera ini serta spesifikasinya.

Rekaan badan jentera ini direka bagi membolehkan ia berfungsi sebagai Full Convertible, Targa Top dan juga Coupe. Pihak Suzuki menawarkan ketiga-tiga varian kepada bakal pembeli.

Bukan itu sahaja, bakal pemilik juga boleh menukar jenis bumbung mereka mengikut citarasa dan pada bila-bila masa sahaja. Kit bumbung Coupe, Targa Top dan Convertible dijual berasingan. Best ni Tuan-Tuan.

Dimensi jentera ini juga agak kecil. Jarak antara roda jentera ini adalah 2,060mm, panjang jentera adalah 3,295mm dan lebar 1,395mm. Berat keseluruhan jentera ini 725kg sahaja. Perodua Viva lagi berat.

Kejutan seterusnya adalah apabila bonet depan dibuka. Kedudukan enjin jentera ini adalah menegak dan bukannya melintang. Hal ini bermakna jentera ini adalah jentera pacuan roda belakang. Mat Saleh panggil “Front Mid-Engine, Rear-Wheel Drive Layout”.

Walaupun kedudukan enjin di hadapan, namun pihak Suzuki telah melakukan penalaan kepada cesi serta badan jentera ini bagi mendapatkan nisbah berat yang seimbang.

Nisbah berat jentera ini apabila 2 orang duduk di dalam kereta adalah 50:50 bagi depan dan belakang. Bukan itu sahaja, sistem suspensi jentera ini menggunakan set “Double Wishbone” pada bahagian depan dan belakang.

Segala komponen suspensi dibuat menggunakan Alumunium. Baru lah ringan. Nisbah berat 50:50 dikombo kan dengan sistem suspensi “Double-Wishbone”. Jentera ini diakui mempunyai pengendalian yang sangat mantap!

Jentera ini juga dilengkapi dengan “Speed Sensing Electric Power Assisted Steering”. Zaman dulu dah pakai Tuan-Tuan. Bila keadaan pegun atau kelajuan rendah, steering akan terasa ringan. Jika memandu pada kelajuan tinggi, steering akan terasa berat. Antara faktor utama pihak Suzuki menggunakan sistem ini adalah untuk mengurangkan beban kepada enjin.

Seterusnya kita pergi pada enjin. Jentera ini dikuasakan oleh enjin Suzuki berkod F6A 3 selinder bersesaran sebanyak 657cc. Enjin ini mempunyai konfigurasi “Dual Overhead Camshaft”(DOHC) bersama 4 injap bagi setiap selinder. Unit Camshaft dipacu oleh Tali Sawat Pemasaan(Timing Belt). Nisbah mampatan adalah pada kadar 8.3:1. Sistem Pancitan Bahan api dikawal sepenuhnya secara elektronik. Enjin ini juga dibantu dengan sistem pendesak turbo bagi mendapatkan kuasa yang ideal.

Hasilnya ?

63hp pada 6,500rpm dan daya kilas sebanyak 85Nm pada 4,000rpm. Rev maksimum pada 9,300rpm.

Anda tergelak ? Sabar dahulu. Harus diingat jentera ini merupakan sebuah “Kei-Car”. Pihak Suzuki juga telah memberikan kenyataan di mana fokus pembuatan jentera ini adalah untuk mendapatkan pengalaman pengendalian yang hebat.

Okay lah ni. Capai KPI. Dapat bonus. Eh ?!

Kuasa yang dihamburkan ini seterusnya dihantar ke kotak gear manual 5 kelajuan. Nisbah gear adalah seperti berikut :-

Gear 1 – 3.48
Gear 2 – 2.02
Gear 3 – 1.35
Gear 4 – 1.00
Gear 5 – 0.79
Gear Gostan – 3.26

Seterusnya kuasa dihantar ke gandar belakangv (Rear Axle) yang dilengkapi dengan “Limited Slip Differential” (LSD) yang mempunyai nisbah 5.13. Ada LSD beb. Kelajuan tertinggi yang direkodkan jentera ini adalah 150km/h. Laju lah juga tu.

Tanggungjawab memberhentikan jentera ini diberikan kepada 4 unit sistem brek cakera. Depan belakang pakai disc, takde drum.

Produksi jentera ini adalah selama 2 tahun iaitu pada tahun 1991-1992. Sebanyak 15,113 unit dibina dan 13,318 unit berjaya dijual. 88% daripada produksi berjaya dijual. Hebat!

Angka jualan ini adalah jualan domestik. Pihak Suzuki pada awalnya tidak bercadang untuk mengeksport jentera ini keluar negara. Namun pihak Suzuki Great Britain (GB) berbincang dengan HQ di Jepun untuk mengimport model ini ke UK.

Bukan senang sebenarnya untuk memasuki pasaran Eropah. Jentera ini memerlukan 18 bulan untuk memenuhi kriteria British National Type Approval (British NTA). Kalau kat Malaysia ni orang panggil VTA lah. Tak lepas VTA maknanya sesebuah jentera tu tak dibenarkan berada di atas jalanraya.

Jentera ini dipamerkan buat pertama kali di luar Jepun di acara British International Motor Show pada tahun 1992.

Pada tahun 1993 jentera ini dilancarkan secara rasmi di UK dengan tanda harga £11,995. Tak murah ye Tuan-Tuan. Pihak Suzuki GB mengimport sebanyak 1,182 unit. Sebanyak 1,110 unit di daftarkan di UK dan lagi 72 unit diedarkan kepada pengedar sah Suzuki di Jerman, Perancis, Belanda dan Sweden.

Ada beza ke model Jepun dgn Eropah ni ?

Ada.

Perbezaan yang ketara adalah pada indikator signal di tepi fender. Model Jepun tenggelam manakala model UK timbul.

Pada tahun 1995, piawaian emisi lebih ketat diperkenalkan oleh European Commision. Hal ini menyebabkan jentera yang masih belum didaftarkan sebelum 30 September 1995 perlu melalui proses homoglasi lagi sekali.

Perbincangan dilakukan dan keputusannya adalah pihak Suzuki tidak mahu mengikut piawaian emisi di Eropah seterusnya menamatkan terus pengeluaran ke Eropah.

Pada tahun yang sama juga, pihak Suzuki mengeluarkan model “Facelift” yang dikenali dengan kod EA21R. Tiada perbezaan pada bahagian luaran namun perubahan dilakukan pada enjin serta ciri-ciri tambahan.

Model “Facelift” ini menerima enjin baru berkod K6A. Sesaran enjin ini lebih 1cc sahaja berbanding enjin lama iaitu 658cc. Enjin ini menggunakan “Timing Chain” dan bukannya “Timing Belt” seperti yang ada pada enjin lama. Enjin inj juga lebih ringan berbanding enjin lama kerana material yang digunakan adalah dari alumunium.

Perubahan lainnya adalah pihak Suzuki memperkenalkan varian dengan kotak gear Automatik 3-kelajuan. Ada juga varian yang menerima set beg udara, sistem ABS dan juga “Power Window”.

Sayangnya produksi Suzuki Cappuccino ini akhirnya dihentikan pada suku keempat 1997 dan jualan terakhir pada tahun 1998. Sebanyak 28,010 unit berjaya dihasilkan.

Di Malaysia saya pernah melihat jentera ini diiklankan 6 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2014. Ketika itu harganya dalam lingkungan RM67,000. Sekarang ? Entahlah. Iklan pun dah tak muncul. Populariti jentera ini juga semakin meningkat disebabkan Anime Inital D.

Ini lah dia Tuan-Tuan sedikit sebanyak cerita tentang Suzuki Capluccino. Tak perlu kuasa kuda yang tinggi untuk menjadikan kereta ini power. Boleh drift lagi tu, RWD kan. Suzuki Power !

Google ads
Back to top button