
5 KERETA REBADGING YANG BUAT PEMINAT AUTOMOTIF GARU KEPALA
Perkongsian platform dan teknologi antara pengeluar bukan perkara asing dalam industri automotif. Strategi ini membolehkan syarikat mengurangkan kos pembangunan, memanfaatkan skala pengeluaran serta mempercepatkan kemasukan ke segmen pasaran baharu.
Bagaimanapun, strategi berkenaan tidak semestinya menghasilkan produk yang berjaya. Ada pengeluar yang mengambil jalan mudah dengan menggunakan model sedia ada daripada jenama lain, kemudian hanya menukar logo dan melakukan sedikit perubahan kosmetik sebelum memasarkannya sebagai produk baharu.
Amalan yang dikenali sebagai badge engineering atau rebadging ini kadangkala berjaya, tetapi ada juga yang mengundang kritikan kerana gagal mengekalkan identiti jenama, malah menimbulkan persoalan mengenai rasional kewujudan model tersebut.
Berikut lima contoh rebadging yang dianggap antara paling tidak menjadi dalam sejarah automotif, disusun mengikut tahun kemunculannya.

1. 1982 CADILLAC CIMARRON (CHEVROLET CAVALIER)
Cadillac merupakan jenama mewah di bawah General Motors (GM) yang sepatutnya bersaing dengan pengeluar premium Eropah seperti BMW dan Mercedes-Benz. Namun, pada 1982, GM mengambil keputusan memperkenalkan Cadillac Cimarron yang sebenarnya berasaskan Chevrolet Cavalier.
Model ini dibangunkan menggunakan platform J-body dan berkongsi rangkaian kuasa dengan Cavalier. Malah, sebahagian besar reka bentuk luaran turut dikekalkan tanpa perubahan besar.
Antara perbezaan yang diberikan termasuk gril khusus Cadillac, tambahan kemasan krom, lampu belakang berlainan, rim aloi serta pilihan bumbung vinil.
Bahagian kabin pula menerima tempat duduk kulit dengan sokongan sisi lebih baik, kemasan menyerupai aluminium atau kayu serta kelengkapan standard yang lebih lengkap termasuk penyaman udara.
Namun, masalah paling ketara ialah harga. Ketika diperkenalkan, Cimarron dijual pada harga sekitar AS$12,000, berbanding Chevrolet Cavalier yang berharga kira-kira AS$7,000.
Perbezaan harga yang besar itu sukar dipertahankan memandangkan kedua-duanya berkongsi asas mekanikal dan reka bentuk yang hampir serupa. Cimarron akhirnya menjadi antara contoh paling terkenal kegagalan Cadillac dalam usaha memasuki segmen sedan kompak mewah.

2. 1993 HONDA CROSSROAD (LAND ROVER DISCOVERY)
Honda Crossroad merupakan antara model paling ganjil pernah diperkenalkan oleh pengeluar Jepun itu. Dilancarkan pada 1993 untuk pasaran Jepun, model ini sebenarnya bukan hasil pembangunan Honda sendiri.
Sebaliknya, Crossroad merupakan Land Rover Discovery generasi pertama yang diberikan lencana Honda.
Hampir keseluruhan aspek kenderaan itu dikekalkan, termasuk reka bentuk badan, ruang kabin, enjin V8, sistem pacuan empat roda sepenuh masa serta casis jenis ladder-frame.
Menariknya, Crossroad turut mencatat sejarah sebagai satu-satunya model Honda yang menggunakan enjin V8.
Ia ditawarkan dalam dua pilihan badan, iaitu tiga pintu dengan lima tempat duduk dan lima pintu yang mampu memuatkan tujuh penumpang.
Walaupun membawa logo Honda, identiti asal Land Rover masih terlalu jelas sehingga menyukarkan pengguna melihatnya sebagai sebuah produk Honda sebenar.
Kehadiran Crossroad di bilik pameran Honda juga agak janggal apabila diletakkan sebaris dengan model seperti Civic, Accord dan NSX. Tidak menghairankan apabila model ini gagal mendapat sambutan seperti diharapkan dalam pasaran Jepun.

3. 1996 KIA ELAN / VIGATO (LOTUS ELAN)
Pada era 1990-an, Kia mempunyai hasrat untuk memasuki segmen kereta sport dengan sebuah model yang mampu bersaing dengan Mazda MX-5.
Namun, sebagai pengeluar yang ketika itu masih membangunkan kedudukan dalam industri, Kia tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menghasilkan sebuah kereta sport sepenuhnya dari awal.
Peluang muncul apabila Lotus menghentikan pengeluaran Elan M100 pada 1995. Kia kemudian memperoleh peralatan pengeluaran serta lesen untuk menghasilkan model berkenaan menggunakan jenamanya sendiri.
Hasilnya ialah Kia Elan yang dipasarkan di Korea Selatan dan turut dieksport ke Jepun menggunakan nama Kia Vigato.
Berbanding Lotus Elan asal, perubahan pada versi Kia agak terhad. Antaranya termasuk lampu belakang baharu, reka bentuk rim berlainan serta talaan suspensi yang memberikan jarak kelegaan tanah lebih tinggi.
Struktur badan gentian kaca dan casis tulang belakang keluli masih dikekalkan. Bagaimanapun, enjin asal daripada Isuzu digantikan dengan enjin aspirasi semula jadi 1.8 liter keluaran Kia.
Walaupun mempunyai asas sebuah kereta sport daripada Lotus, harga jualannya sekitar 27.5 juta won menjadikannya antara model paling mahal dalam pasaran Korea ketika itu.
Harga tersebut menyukarkan Kia Elan menarik pembeli dalam jumlah besar, sekali gus menjadikan projek berkenaan kurang berjaya dari sudut komersial.

4. 2012 LANCIA FLAVIA CONVERTIBLE (CHRYSLER 200 CONVERTIBLE)
Selepas Fiat memperoleh pegangan dalam Chrysler pada 2009, kedua-dua syarikat mula mencari peluang untuk berkongsi produk dan memperluaskan rangkaian model masing-masing.
Antara jenama yang menerima kesan daripada strategi itu ialah Lancia, pengeluar Itali yang mempunyai sejarah panjang dalam dunia automotif.
Dalam tempoh berkenaan, Lancia memperkenalkan beberapa model baharu yang sebenarnya menggunakan asas kenderaan Chrysler.
Antaranya termasuk Thema yang berasaskan Chrysler 300, Voyager yang menggunakan model Chrysler dengan nama sama, serta Flavia Convertible yang diambil daripada Chrysler 200 Convertible.
Daripada ketiga-tiganya, Flavia dianggap antara contoh paling janggal.
Nama Flavia mempunyai nilai sejarah tersendiri dalam katalog Lancia. Namun, model yang diperkenalkan semula itu tidak banyak membawa identiti kejuruteraan atau reka bentuk Itali.
Perubahannya hanya melibatkan sedikit sentuhan pada gril hadapan, selain penggunaan lencana dan nama Lancia.
Pada asalnya, model ini dirancang dalam bentuk sedan dan convertible, tetapi hanya versi convertible dipasarkan kepada pelanggan.
Dengan penampilan yang masih jelas mencerminkan sebuah Chrysler, Flavia gagal mendapat sambutan di Eropah. Pengeluarannya akhirnya dihentikan pada 2014.
Usaha untuk memperluaskan rangkaian produk Lancia menerusi model rebadging ini akhirnya tidak memberikan hasil yang diharapkan.

5. 2011 ASTON MARTIN CYGNET (TOYOTA IQ)
Jika ada satu model yang sering dijadikan contoh paling ekstrem dalam sejarah rebadging, Aston Martin Cygnet pastinya antara nama yang sukar diketepikan.
Diperkenalkan pada 2011, model ini pada asasnya merupakan Toyota iQ yang diberikan penampilan dan kemasan mewah mengikut identiti Aston Martin.
Bagi sebuah jenama yang sinonim dengan kereta sport berprestasi tinggi dan model grand tourer, kemunculan sebuah kereta bandar bersaiz kecil sememangnya mengejutkan.
Aston Martin melakukan beberapa perubahan pada bahagian luaran, termasuk bampar hadapan baharu dengan gril ikonik jenama itu, saluran udara tambahan, kemasan sisi, lampu belakang khusus serta bampar belakang yang diubah suai.
Ruang kabin pula menerima layanan lebih eksklusif menerusi penggunaan kulit gred tinggi, kemasan Alcantara dan jahitan tangan.
Namun, perubahan tersebut hanya melibatkan aspek penampilan dan kemewahan. Di sebalik badan kompaknya, Cygnet masih menggunakan enjin empat silinder 1.3 liter Toyota yang memacu roda hadapan menerusi transmisi CVT.
Harga jualannya sekitar £30,000, hampir tiga kali ganda berbanding Toyota iQ yang menjadi asas pembangunannya.
Sebenarnya, pengenalan Cygnet bukan semata-mata untuk memasuki segmen kereta bandar mewah. Model ini turut membantu Aston Martin memenuhi peraturan pelepasan emisi armada kenderaan Kesatuan Eropah (EU) dengan mengurangkan purata emisi keseluruhan model keluarannya.
Bagaimanapun, Cygnet gagal mencapai sasaran jualan yang ditetapkan dan akhirnya menjadi antara projek paling kontroversi Aston Martin.
Menariknya, pada 2018, bahagian Q by Aston Martin menghasilkan sebuah unit khas Cygnet untuk pelanggan tertentu dengan menggunakan enjin V8 4.7 liter daripada Vantage yang menghasilkan 430hp.
Pengubahsuaian itu turut merangkumi sistem pacuan roda belakang, badan lebih lebar dan sistem suspensi baharu. Kos pembinaannya menjadikan nilai kereta unik tersebut dianggarkan mencecah £450,000.
Lima model ini membuktikan bahawa berkongsi platform, teknologi dan komponen bukanlah satu kesalahan dalam industri automotif. Malah, strategi tersebut mampu menghasilkan produk yang berjaya sekiranya dilaksanakan dengan perancangan tepat.
Namun, apabila perbezaan antara dua jenama hanya terletak pada lencana, harga dan kemasan kosmetik, pengguna pastinya akan mempersoalkan nilai sebenar yang ditawarkan.
Dalam dunia automotif, identiti sesebuah jenama bukan sekadar logo yang dilekatkan pada gril hadapan.









