Buletin

TIADA KENAIKAN KADAR TOL DI 4 LEBUH RAYA LEMBAH KLANG – PM

Kadar tol di empat lebuh raya di Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu.

Penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu ialah Kesas Sdn. Bhd. yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara – Puchong (LDP).

“Melalui penstrukturan ini, kadar tol tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat konsesi serta akan dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi.

“Penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

“Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol seperti mana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi,” memetik kenyataan yang dikeluarkan beliau pada Isnin.

Jelas Perdana Menteri, penjimatan tersebut boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Kata beliau, penstrukturan dilaksanakan itu adalah sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

Perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula ini akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. – AWANI

Google ads
Back to top button