Buletin

JANGAN SUKA-SUKA ELAK BAYAR TOL. ANDA BAKAL BERDEPAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Bagi pengguna jalan raya yang gemar mengelak membayar tol. Anda tidak lagi selamat malah tindakan undang-undang bakal dikenakan terhadap pelaku perangai buruk berkenaan.

Memetik laporan FMT, peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan mungkin diperkenalkan terhadap individu yang cuba melakukan perbuatan itu dengan menggunakan lorong Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di lebuh raya pada 2025.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof mengesahkan bahawa kementeriannya mencadangkan satu undang-undang jenayah baharu terhadap pengelak tol sebagai sebahagian daripada pelaksanaan MLFF dalam tempoh 24 bulan akan datang.

“Ini bagi mengelakkan ketirisan kerana kami sedang meneliti peruntukan undang-undang yang merangkumi Kanun Keseksaan dan sama ada mengelak tol boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah kerana tiada halangan lorong di bawah MLFF,” katanya kepada FMT.

Fadillah berkata, satu peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan dan cadangan pindaan terhadap undang-undang berkaitan, termasuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Bagi mewujudkan sistem rekod pengesanan kenderaan dan pemandu, kita perlu menghubungkannya dengan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Undang-undang berkaitan perlu diteliti. Mungkin terdapat keperluan untuk undang-undang khas (baharu) atau mungkin undang-undang sedia ada perlu dipinda,” katanya.

Walaupun ia adalah satu usaha yang rumit buat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam tempoh lima tahun lalu bagi melaksanakan rancangan MLFF, termasuk pelaksanaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) namun katanya, halangan terbesarnya adalah untuk menyelesaikan aspek undang-undangnya.

MLFF merupakan sistem tol tanpa halangan, tanpa pondok tol dan lorong khusus.

Ia menggunakan struktur gantri yang dilengkapi dengan pengecaman plat nombor automatik (ANPR) di lokasi tertentu. –FMT

Google ads
Back to top button