Buletin

ISU RFID: PLUS GANDAKAN PASUKAN DI PLAZA TOL. BOLEH GANTI TAG RFID PERCUMA JIKA MASIH ROSAK

Selepas menerima respons kurang memberangsangkan daripada pengguna lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini memaklumkan bahawa pihaknya akan menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol seliaannya. 

Tindakan itu diambil selepas PLUS dikecam teruk berikutan lorong RFID gagal berfungsi seperti yang sepatutnya. 

“PLUS sudah meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID. Pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.

“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan,” kata PLUS dalam satu kenyataan. 

Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma.

Katanya, pelanggan lebuh raya dialu-alukan untuk memberikan maklum balas melalui talian PLUSLine 1800-88-0000 dan chatbot PLUS, P.U.T.R.I melalui Aplikasi PLUS.

“PLUS berharap dengan peningkatan penghijrahan pembayaran tol menerusi RFID, yang sejajar dengan gaya hidup digital pembayaran tanpa sentuh hari ini dan e-Dompet, akan membawa pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan menyeronokkan,” katanya. 

PLUS turut mendedahkan migrasi transaksi RFID telah meningkat sebanyak 10 peratus selepas ia dilaksanakan pada 15 Januari 2022 di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan. – Harian Metro 

Google ads
"
"
Back to top button