
MASIH UNDUR KERETA DI LORONG RFID? LEMAH… THAILAND DAH GUNA TOL TANPA PALANG M-FLOW
Ketika Malaysia masih gagal melaksanakan proses pembayaran secara Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), negara jiran kita Thailand nampaknya sudah maju ke depan apabila mula melaksakanan sistem tol tanpa palang yang dikenali sebagai M-Flow.
Rancangan pelaksanaan sistem M-FLow disarankan oleh Menteri Pengangkutan Thailand, Saksayam Chidchob kepada Jabatan Lebuhraya (DOH) dan Pihak Berkuasa Lebuhraya Thailand (Exat). Ia bertujuan menambah baik perkhidmatan tol dengan menggunakan platform digital.
Pelaksanaan lorong tol digital pada November 2020 itu juga mahu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di lorong tol, sebelum menghapuskannya menjelang 2024.

Teknologi AI dan kamera
Berbanding RFID, M-Flow ialah satu sistem aliran bebas automatik yang menggunakan kamera dan teknologi kepintaran buatan (AI). Menurut pengendandali lebuhraya, sistem tersebut mampu mengimbas nombor plat kenderaan dan mengenal pasti pemilik dengan ketepatan hampir 99 peratus!
Kecanggihan sistem itu membolehkan pemandu melalui laluan tol tanpa perlu memperlahankan kenderaan pada kelajuan maksimum 120kmj. Ini pastinya bukan seperti RFID di tol di Malaysia yang kadang-kala memaksa pemandu mengundurkan kenderaan apabila palang gagal diangkat.
Sistem M-Flow juga dikatakan mampu mengendalikan di antara 2,000 hingga 2,500 unit keereta setiap jam di setiap lorong. DOH menjangkakan aliran trafik di lorong tol akan menjadi lima kali lebih baik berbanding sistem pembayaran tunai sedia ada.
Buat masa sekarang, sistem tol tanpa palang M-Flow disediakan di Motorway 9 (Bang Pa-In-Bang Phli) di pintu Thap Chang 1, 2 dan Thanyaburi 1 dan 2. Ia bakal digunakandi semua lebuh raya di Thailand pada masa depan. Biarpun begitu, M-Flow tidak menyokong kenderaan baharu dengan plat merah atau pudar.

Sistem pembayaran
Dari segi pembayaran pula, M-Flow mengaplikasikan sistem pasca bayar yang boleh dibayar menerusi kad kredit, debit atau akaun bank biasa. Pengguna perlu membuat pembayaran pada hari pertama atau ke-16 setiap bulan. Selain itu, pemandu juga diberi kebebasan untuk membayar setiap kali menggunakan lebuhraya.
Jadi, pengguna tidak perlu menambah nilai kad bagi memastikan baki yang cukup setiap kali menggunakan lebuhraya seperti yang diamalkan di Malaysia dengan kad Touch n Go.
Pengguna yang masih tidak berdaftar dengan M-Flow dibenar untuk menggunakan lorong berkenaan, tetapi mereka perlu membayar yuran perkhidmatan dalam tempoh dua hari. Jika gagal, mereka perlu membayar denda 10 kali ganda daripada caj asal.

Denda
Denda akan meningkat jika pengguna gagal membuat pembayaran dalam tempoh 12 hari. Denda itu termasuklah bayaran tol asal, denda 10 kali ganda daripada yuran asal, denda 200 baht (RM25) oleh DOH dan kemungkinan denda lain sehingga 5,000 baht (RM630) kerana melanggar undang-undang jalan raya.
Menurut DOH, lebih 20,000 pemilik kenderaan sudah membayar denda itu sehingga kini. Disebabkan jumlah denda yang tinggi, Chidchob mengumumkan penangguhan pelaksanaan denda tersebut sehingga akhir Mac 2022. Manakala denda yang sudah dibayar akan dikembalikan semula kepada pengguna.
Sepanjang Februari lalu, sebanyak 100,707 pengguna sudah mendaftar dengan M-Flow melibatkan 110,341 unit kenderaan. Sejak diperkenalkan pada 15 Februari lalu, secara purata 60,000 kenderaan menggunakan M-Flow sehari.

Untuk mengenal pasti lorong M-Flow, pengguna boleh melihat papan tanda yang disediakan. Lorongnya juga dicat dengan perkataan M-Flow berwarna biru dan merah di lorong kanan.
Seperti yang pernah dilaporkan sebelu ini, Malaysia bakal beralih kepada sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF). Tahun lalu, Green Packet Bhd (Green Packet) mengumumkan bakal melancarkan sistem tol tanpa palang pertama di Malaysia bermula tahun ini.
Projek dengan kerjasama FETC International Co (FETCi) dari Taiwan itu akan dipasang di Lebuhraya Besraya KM5.5 (Arah Utara) bagi tujuan mengumpul data selama tiga bulan bermula awal 2022.
Data yang dikumpul itu akan dikongsi dengan pihak berkuasa dan pemegang kepentingan dengan sasaran utama untuk membuktikan kewajaran aplikasinya.
- BACA: TOL SESAK TERUK SEBAB RFID. RAMAI TAK PUAS HATI
- BACA: ISU RFID: KOS CUMA RM1, TETAPI KENAPA JUAL RM35? – NAJIB
- BACA: ISU RFID: PLUS BUKA SEMULA 19 LORONG SMARTTAG, MOHON MAAF KEPADA PENGGUNA
- BACA: INDONESIA SELARASKAN PLAT KENDERAAN. CHIP RFID UNTUK TOL, PENGUATKUASAAN & BAYARAN PARKIR ELEKTRONIK