Buletin

TIDAK DISANGKA, LAMBORGHINI DILANCARKAN DI MALAYSIA – HARGA BAWAH RM1 JUTA SEUNIT SEBELUM CUKAI!

Ya, anda tidak salah baca. SUV mewah paling hangat di dunia itu melakukan prebiu untuk pasaran Asia Pasifik di Malaysia  buat pertama kalinya sebentar tadi.   

Lamborghini Urus ditawarkan pada harga bawah RM1 juta seunit, sebelum duti dan cukai.

Urus dijangka memacu angka jualan yang signifikan pada tahun ini. Maklum balas yang diterima oleh para pelanggan sangat positif.

Ada di antara mereka yang sudahpun membuat tempahan daripada unit yang diperuntukkan untuk pasaran Malaysia bagi tahun 2018,” kata Pengurus Besar Lamborghini Asia Pasifik, Andrea Baldi. 

Seperti tradisi Lamborghini, nama Urus diambil daripada nama lembu. Urus yng juga dikenali sebagai Aurochs ialah lembu domestik purba yang besar dan liar.  

Kehadiran SUV tersebut di pasaran tempatan sememangnya agak cepat. Ini memandangkan Urus dilancarkan secara rasmi pada Disember tahun lalu dalam satu acara yang cukup meriah di ibu pejabat Automobili Lamborghini di Sant’ Agata Bolognese, Itali.

Dikenali sebagai kenderaan utiliti sukan super sport (SSUV) pertama di dunia, Urus mengambil masa selama lima tahun untuk dibangunkan. Ia melakukan debut pertama pada acara Beijing Motor Show 2012.

Jentera itu dikuasakan oleh enjin turbo berkembar V8 yang dibangunkan khas. Menurut Lamborghini, enjin tersebut langsung tidak mempunyai persamaan dengan versi enjin VAG yang dipasang pada Bentley Continental V8 dan Flying Spur 8.

Ia mampu menjana kuasa mencecah 650PS dan tork 850Nm. Dengan padanan transmisi automatik lapan kelajuan, Urus dapat memecut dari 0 – 100km/j dalam masa 3.6 sama dan pecutan maksimum 305km/j.   

Kuasa enjin disalurkan ke keempat-empat roda menerusi sitem pacuan 4WD. Ini sekali gus membolehkan Urus beraksi di atas apa jua permukaan jalan.

Urus juga didatangkan dengan mode pemanduan seperti STRADA, TERRA (off-road), NEVE (Salji), SPORT, CORSA dan mode SABBIA untuk kegunaan di atas padang pasir. 

Urus hadir dengan rekaan garis-garis tajam yang mengambil inspirasi daripada model Aventador. Berkapasiti lima tempat duduk, Urus dibina di atas platform MLB Volkswagen yang turut digunakan oleh Audi Q7, Bentley Bentayga dan Porsche Cayenne.

Ruang kabin SSUV itu menggunakan kemasan kulit, Alcantara, gentian karbon dan kayu. Papan pemuka dipasang dengan kayu berwarna hitam berkilat dan aluminium sebagai ciri standard.

BACA: LAMBORGHINI URUS, SUPER SUV 0-100KM DALAM MASA 3.6 SAAT!

Kluster intrumen terdiri daripada unit paparan TFT digital sepenuhnya. Bahagian atas skrin menampilkan fungsi hiburan, navigasi, telefon dan status kenderaan.

Manakala ruang bawah pula hadir dengan papan kekunci dan kanvas untuk tulisan tangan yang bertindak sebagai input maklumat daripada pemandu. Di samping butang kawalan pendingin hawa dan pemanas tempat duduk.

Setakat ini, sudah 30 unit Lamborghini Urus telah ditempah. Tempoh menunggu pula adalah sekitar 12 hingga 18 bulan.  

Google ads
Back to top button