
TOYOTA CAMRY NAIK HARGA RM7K. TAPI KENAPA?
Ketika kereta ini dilancarkan, semua orang mengeluh. Cuma satu spesifikasi dan cuma satu harga dan harganya tidak murah lagsung. RM192K harga atas jalan sebelum insurans. Namun, semua orang bersetuju tentang dua perkara. Pertama, Camry ini benar-benar telah meninggalkan imej orang tua, ia sporty dan cantik dan yang keduanya – mahal!.
Namun, ia tidak cukup mengejutkan lagi di mana berkuatkuasa semalam, harga jualan Toyota Camry yang baru telah dinaikkan sebanyak RM6,988, menjadikan harga baru kepada RM196,888 (tidak termasuk insurans)!
Tidak ada perubahan pada spesifikasi tetapi, ia sama, malah ia tetap merupakan pemasangan di kilang Toyota di Thailand. Namun apa yang menjadikan harganya semakin mahal?
Sedangkan ia tidak banyak dilihat di atas jalan berbanding ketika generasi lamanya dilancarkan dulu. Pada tanda harga begini, sukar untuk membandingkannya dengan sedan segmen D Jepun malah ia telah menghampiri harga sedan premium Jerman seperti BMW, Mercedes dan Audi.
Tapi kenapa?
Kerana majoriti pembeli sudah beralih arah kepada segmen SUV. Pasaran sedan bersaiz penuh segmen D semakin mengecil.

Misalnya, Edaran Tan Chong Malaysia juga telah hentikan sepenuhnya jualan Teana untuk tumpukan pada X-Trail. Jika anda jumpa Volkswagen Passat baharu atas jalan juga bertuah. Ia kurang dapat sambutan. Sedan segmen D memang hampir menemui ajalnya.
Dengan jumlah jualan kecil, Camry sudah tentu tidak mendatangkan untung yang besar kepada UMW Toyota. Melaraskan semula harga jualannya adalah langkah terbaik yang boleh mereka lakukan demi meneruskan kelangsungan tawaran permintaan model ini.
Berbeza dengan Camry sebelum ini, pelantar baru TNGA pada Camry dibina lebih sofistikated dan ia juga tidak murah.
Untuk pengetahuan anda, Pada sekitar tahun 2001, ETCM juga pernah menjual Nissan Cefiro Excimo dan model Brougham 3.0 V6 harganya hampir RM200K juga.
Mazda 6 Wagon yang dilancarkan pada 2013 juga dijual pada harga RM193K.