
PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT HELMET DIPANAH PETIR
Di Malaysia yang cuacanya semakin sukar diramal, menunggang motosikal dalam hujan sudah menjadi satu kebiasaan.
Ketika ramai yang berhenti di bawah jambatan atau di mana-mana perhentian sementara menunggu hujan reda, ramai juga yang tegar meneruskan perjalanan, sama ada selepas memakai jaket hujan atau sebaliknya.

Satu kemalangan aneh yang berlaku di Volusia County, Florida Amerika Syarikat ini mungkin membuatkan kita berfikir dua kali sebelum meneruskan perjalanan, terutama ketika berlaku ribut petir.
Seorang penunggang motosikal dilapor dipanah petir yang kemudian menyebabkan dia terbabas dan masuk ke laluan bertentangan. Maut di tempat kejadian, pihak berkuasa bagaimanapun tidak dapat memastikan apakah yang menjadi punca kematiannya.
Sama ada dipanah petir atau akibat melanggar penghadang jalan setelah terkena renjatan kuasa elektrik daripada petir tersebut, ia masih misteri.
Peronda Lebuh Raya Florida ada berkongsi gambar topi keledar yang dipakai mangsa. Jelas kelihatan ia mempunyai lubang besar pada bahagian hadapannya.
Apa pun sebabnya, moral of the story is kita perlu berhenti di tempat yang selamat jika berlaku ribut petir. Jangan terlalu hendak cepat sampai ke destinasi, nyawa pula yang melayang nanti.