Buletin

TOYOTA DIJANGKA LANCAR 3 KERETA SPORTS TIDAK LAMA LAGI!

Toyota dikatakan akan menjadi pemain utama dalam pasaran kereta sports tidak lama lagi. Mengikuti  barisan model seperti 20 tahun lalu, rangkaian kereta sports itu bakal dikenali sebagai “The Three Brothers”.

Perkembangan itu dikongsi oleh Ketua Gazoo Racing dan jurutera otai Toyota, Tetsuya Tada. Ini bermakna, model Supra, MR2 baharu dan GT86 akan mengembalikan zaman kegemilangan jentera seperti Celica.

Tada juga menyatakan bahawa Toyota mahu menghasilkan ketiga-tiga model tersebut secepat mungkin. Kesungguhan itu sudahpun boleh dilihat apabila Toyota ada menghasilkan hot hatch Yaris GRMN yang kini dipamerkan di acara Geneva Motor Show 2017.

Pengesahan model MR2 sememangnya berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat kereta sports mampu milik di seluruh dunia. Ia dijangka menjadi pesaing sengit kepada Mazda MX-5 yang berada dalam segmen sama.

Memandangkan Tada ialah antara individu yang bertanggungjawab menghasilkan GT86, maka sudah pasti beliau mahu menghasilkan sebuah MR2 baharu yang seringkas dan seringan mungkin.

Namun, bagi mematuhi piawaian emisi yang semakin ketat, Toyota kini sedang bekerja keras untuk mengimplementasikan teknologi hibrid bersama-sama para pelumba LMP1. Maka, hampir pasti susun atur enjin di tengah akan digunakan bagi memudahkan ruang storan bateri dibuat.

Biarpun MR2 bukanlah sebuah jentera hibrid pada asalnya, Tada memberitahu Toyota sedang berusaha untuk menjadi roadster hibrid itu satu realiti.

Mengenai GT86 pula, perubahannya mungkin tidak ketara. Tahun lalu, Toyota ada menghasilkan versi GT86 GRMN dalam jumlah terhad untuk pasaran Jepun. Salah satu sebab kenapa GT86 tidak akan mendapat enjin lebih berkuasa adalah kerana kemunculan Supra.

Supra sememangnya cukup istimewa dalam hati Tada. Memberitahu bahawa Supra baharu akan lebih ringan berbanding pesaingnya, jentera itu menjadikan Porsche Cayman atau 911 sebagai penanda arasnya.

Bukan itu sahaja, Gazoo Racing juga sedang mempertimbangkan untuk membangunkan versi R5, R3 dan R2 bagi Yaris sebagai jentera lumba dalam kempen perlumbaan WRC Toyota.

Apa yang pasti, ramai peminat Toyota menantikan berita sebegini. Toyota sememangnya memerlukan model-model sports seperti ini untuk menaikkan kembali jenamanya, terutama dalam kalangan peminat kereta dan generasi muda.

BACA: PENGAKUAN DRIFT KING – KENAPA SAYA MASIH MEMANDU TOYOTA 86

BACA: TOYOTA SUPRA 400HP, 440NM – HAI NISSAN GT-R, APA KHABAR?

Sumber: EVO UK

Google ads
Back to top button