Buletin

TOYOTA GAZOO RACING FESTIVAL DAN GR VIOS CHALLENGE KEMBALI UNTUK MUSIM KE-6 – TAWAR HADIAH LEBIH SETENGAH JUTA, BANYAK AKTIVITI MENARIK

Toyota GAZOO Racing Festival dan GR Vios Challenge kini kembali untuk musim ke-6, bermula 30 September hingga 1 Oktober 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Acara yang terbuka kepada orang ramai itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik buat para pengunjung.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, siri perlumbaan Toyota GAZOO Racing Festival dan GR Vios Challenge telah menarik minat lebih 18 juta penonton termasuk penonton dalam talian.

Menurut Toyota, kejayaan itu dicapai dengan menggunakan strategi unik iaitu menggabungkan unsur hiburan dan sukan, selain menampilkan ramai selebriti serta personaliti tempatan.

Hasilnya, acara berkenaan berjaya membantu orang ramai mendekati atau lebih mengenali sukan permotoran di Malaysia, termasuk memperlihatkan keupayaan Toyota sendiri.

Bagi musim ke-6, terdapat empat kategori dipertandingkan iaitu Rookie, Sporting, Super Sporting dan Promotion.

Lebih menarik lagi, Toyota menawarkan hadiah lumayan, lebih daripada setengah juta ringgit kepada pemenang GR Vios Challenge. Jadi, pemenang kategori Sporting dan Super Sporting berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 dan RM70,000.

Bukan itu sahaja, turut disajikan ialah debut perdana Toyota Vios generasi keempat serba baharu yang bakal dipandu oleh pemandu selebriti dalam kategori Promotion.

Untuk rekod, model berkenaan akan digunakan untuk semua kategori (kecuali Rookie) sepanjang musim ke-7 GR Vios Challenge.

Selain perlumbaan, tarikan lain yang bakal dinikmati oleh penonton termasuklah konsert, sesi ramah mesra, Tempatan Fest serta jualan barangan rasmi.

Hari pertama konsert akan menampilkan penyanyi hip-hop KMY KMO dan penyanyi rap tempatan Luca Sickta, serta kugiran alternatif, OAG.

Hari ke-2 pula, aksi bertenaga diteruskan menerusi kugiran alternatif Iqbal M, Joe Flizzow, MK, Sonaone, ALYPH, AbangSapau, Killa Driz, Sophia Liana, Gard, Pele, Fuego dan DJ CZA.

Hari ini, Toyota dilihat sebagai kuasa utama dan penyumbang ke arah pembangunan pelumba muda seawal usia 15 tahun, sekali gus menyaksikan platform yang disediakan itu mampu meningkatkan kemahiran pelumba.

Sebagai tambahan kepada usaha ini, Toyota juga menganjurkan perlumbaan dalam talian, eSukan atau eRacing, menerusi GR GT Cup Championship yang baru sahaja melabuhkan tirai untuk musim ke-6.

Kepada peminat aksi perlumbaan, jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan Toyota GAZOO Racing Festival dan GR Vios Challenge dari 30 September hingga 1 Oktober di SIC.

Untuk makluman, masuk adalah percuma dan sebarang maklumat lanjut, sila layari www.toyota,com.my atau terus ke halaman media sosial Toyota GAZOO Racing di Instagram atau Facebook.

GALERI

Google ads
Back to top button