Buletin

NISSAN 20-23 CONCEPT, BAYANGAN NISSAN MICRA EV?

Bagi meraikan ulang tahun ke-20 Nissan Design Europe (NDE) di London, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makoto Uchida melawat NDE dan memperkenalkan Nissan Concept 20-23.

Kereta ini direka NDE termasuk kakitangan muda dengan penerangan ringkas iaitu sebuah kereta tanpa batasan untuk mereka memandu di jalanan di bandar mereka bekerja.

Lampu bulat dan spoiler tinggi mengingatkan Concept 20-23 kepada Nissan March Impul. Di Eropah, March dikenali sebagai Micra dengan generasi kelima dikeluarkan sejak Disember 2016.

Satu lagi perkara menarik ialah Renault 5 EV bakal dilancarkan pada 2024 dan terdapat beberapa persamaan reka bentuk di antara keduanya.

Adakah Concept 20-23 memberi bayangan kepada Micra EV? Ada kemungkinan kerana perkongsian model bukan satu yang asing. Alpine juga bakal menghasilkan model dari Renault 5.

Nama Concept 20-23 merujuk kepada 20 tahun NDE di London dan juga nombor tradisional syarikat iaitu 2 (ni) 3 (san) dan tahun ini.

Selain March, Nissan mempunyai siri kereta unik yang dipanggil Pike dengan model seperti Be-1, Pao, Figaro dan S-Cargo. Concept 20-23 menterjemahkan semula tradisi kereta kecil itu ke abad 21.

Kereta ini juga membawa pengaruh dunia perlumbaan dalam talian dan penglibatan Nissan di dalam Formula E.

20-23 Concept sarat dengan perkakasan aerodinamik dari depan hingga belakang. Saluran udara depan menyejukkan brek dan dikeluarkan melalui liang di belakang roda depan.

Muncung depan dibuat rata dan nampak kemas dan nampak ceria dengan sepasang lampu LED separa bulat yang turut memancarkan lampu isyarat.

Di atas cermin depan terdapat saluran udara untuk pengudaraan pada bahagian dalam kereta.

Sisi kereta nampak robotik dan perkasa dari lengkungan roda yang lebar dan roda besar dengan padana tayar profail rendah. 

Liang pada bahagian atas lengkungan roda mengurangkan tekanan yang boleh menghasilkan rintangan angin di dalam bahagian dalam roda.

Tidak hanya bahagian depan, bukaan udara pada lingkungan roda turut menyejukkan brek belakang. Skirt sisi yang labuh merendahkan badan ke permukaan jalan.

Spoiler belakang tampil menyerlah dan berfungsi bagi menjana daya mendap. Lampu belakang juga dibuat separa bulat seperti di depan. 

Satu lagi yang menyerlah ialah bampar belakang yang dibuat bagi menguruskan aliran udara dan memaksimumkan penghasilkan daya mendap semasa udara keluar dari bawah kereta.

Bahagian belakang turut membawa imej senyuman di sebalik perkakasan yang begitu menonjol.

Urusan masuk dan keluar kereta melalui pintu gunting yang sesuai dengan imej kereta sebegini.

Bahagian dalam juga dibuat menyerlah dengan pendakap sisi, kerusi bucket dan penghadang kepala seperti kertea lumba.

Tidak tertutup, batang stereng jelas kelihatan dan disambut stereng sport petak dengan pelbagai butang kawalan dan larasan selain pedal untuk mengawal prestasi rangkaian kuasa elektrik.

Skrin kereta dibuat ringkas yang memaparkan maklumat penting bagi mengurangkan gangguan dan seperti sebuah kereta lumba dan simulator perlumbaan dalam talian.

Kredit foto: Nissan

Google ads
Back to top button