Buletin

TOYOTA TUTUP KILANG DI CZECH SEPANJANG FEBRUARI AKIBAT GANGGUAN BEKALAN

Masalah gangguan bekalan berterusan untuk tahun 2023 tanpa sebarang tanda-tanda akan surut.

Kebanyakan pengeluar terkesan di mana angka jualan menurun untuk tahun 2022 disebabkan masalah yang masih lagi membelenggu sehingga kini.

Disebabkan masalah ini juga, Toyota terpaksa menutup sementara kilang pemasangan di Czech Republic sepanjang bulan Februari tahun ini.

Kilang Toyota di Kolin itu digunakan untuk memasang model Aygo X dan Yaris, dan sepanjang tahun 2022 Toyota telah berjaya memasang 202,255 unit kenderaan di fasiliti tersebut.

Kilang tersebut sebelum ini dimiliki bersama dengan PSA Group sebelum ia diambil alih sepenuhnya oleh Toyota pada tahun 2021.

Selain daripada kilang di Czech, Toyota juga dilapor akan menghentikan sementara produksi kenderaan di kilang Motomachi selama dua hari.

Untuk makluman, kilang Toyota di Motomachi merupakan lokasi pemasangan eksklusif bagi model-model berprestasi tinggi Gazoo Racing seperti GR Yaris dan GR Corolla.

Sepanjang bulan Februari, Toyota menjangkakan angka produksi global berjumlah 750,000 unit, di mana 300,000 unit daripadanya dibina di Jepun dan selebihnya disumbangkan oleh kilang-kilang di seluruh dunia.

Untuk tahun 2023, Toyota mengunjurkan angka produksi berjumlah 10.6 juta unit kenderaan.

Google ads
Back to top button