
TUGAS KOJI SATO – MENGEMUDI PERALIHAN TOYOTA KEPADA TENAGA BERSIH
Toyota baru-baru ini mengumumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Akio Toyoda akan melepaskan jawatan pada 1 April dan posisi tersebut bakal diisi oleh Koji Sato.
Salah satu sebab utama Sato dipilih sebagai pengganti ialah kerana kegemarannya untuk mencipta kereta, kata Toyoda semasa pengumuman rasmi yang disiarkan dalam talian.
Koji Sato merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Lexus yang juga seorang jurutera dengan latar belakang dalam enjin diesel. Tugas baharunya nanti adalah untuk mengemudi peralihan syarikat kepada tenaga bersih.

Sato memulakan kerjayanya di Toyota pada 1992, sebelum dinaikkan pangkat menjadi ketua jurutera Lexus International pada 2016, berdasarkan profilnya di laman web Toyota.
Sejak memegang jawatan sebagai Presiden Lexus International dan Gazoo Racing Company pada 2020, Sato telah menyelia penghasilan model elektrik sepenuhnya pertama Lexus.
Di bawah Toyoda, Toyota mengambil pendekatan untuk memberi fokus kepada teknologi hibrid berbanding elektrik. Toyoda juga mengatakan potensi teknologi hidrogen tahun lepas di Thailand, bahkan memandu sendiri kereta lumba Toyota berkuasa hidrogen.
“Ia tidak akan menjadi pengganti segera untuk kenderaan elektrik, tetapi adalah baik untuk orang ramai mengetahui bahawa terdapat pilihan lain yang tersedia,” kata Sato mengenai kenderaan berkuasa hidrogen.
Timbalan Ketua Penyelidikan Jepun di kumpulan pelaburan CLSA, Christopher Richter, berpendapat bahawa adalah penting mempunyai seseorang yang sensitif terhadap keperluan untuk membangunkan jenama.
“Mempunyai seseorang yang sensitif terhadap keperluan jenama itu lebih kritikal kerana anda menuju ke zaman EV, di mana banyak perkara akan membuat jenama berubah.
“Syarikat kereta pernah hidup dan mati dengan enjin mereka. Anda menukar kepada jenis kenderaan yang berbeza. Membina jenama di sekeliling jenis seni bina dan pemanduan baharu adalah kuncinya,” jelas Richter.
- BACA: SELEPAS 14 TAHUN, AKIO TOYODA LETAK JAWATAN, BERKUATKUASA 1 APRIL
- BACA: INI UCAPAN AKIO TOYODA – PRESIDEN TOYOTA YANG MENGGETARKAN JIWA
- BACA: TOYOTA PERKENAL HILUX REVO BEV CONCEPT DI THAILAND. SPESIFIKASI TEKNIKAL BELUM ADA
- BACA: TOYOTA PASANG ENJIN TURBO DAN SET HIDROGEN DI DALAM COROLLA CROSS H2 CONCEPT!









