Buletin

KEMALANGAN DI NKVE, MENTERI KERJA RAYA ARAH SIASATAN DAN KERJA BAIK PULIH SEGERA

Awal minggu ini, tular satu klip video yang menunjukkan dua kereta berlanggar, didakwa kerana keliru dengan garis jalan berhampiran susur keluar Kota Damansara NKVE.

Dalam video itu, salah satu kenderaan dilihat bergerak di sepanjang jalan dengan tanda lorong putih dan kuning sementara yang bertindih sebelum menyedari ia terlalu hampir dengan kenderaan di sebelahnya.

Ia mengakibatkan kereta Toyota Veloz dan Toyota Innova itu hilang kawalan lalu merempuh pembahagi tepi jalan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, telah mengarahkan siasatan penuh dilakukan dan memulakan kerja pembaikan pada kadar segera.

“Pemilik konsesi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) telah memulakan kerja-kerja pembaikan pada malam Selasa dengan kerja-kerja itu dijangka siap dalam tempoh tiga malam.

“Pihak berkuasa DASH juga telah mengenal pasti lokasi lain di mana infrastruktur itu perlu diperbaiki,” memetik kenyataannya di Facebook.

Selain itu, beliau mahu pihak berkuasa lebuh raya serta syarikat konsesi memastikan tanda lorong dilukis dengan jelas kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya. – The Star

Google ads
Back to top button