
TOYOTA VIOS 2023 DIBUKA UNTUK TEMPAHAN. 2 VARIAN, REKAAN FASTBACK, BERMULA RM90K
Tidak lama selepas berkongsi video acah dalam saluran media sosial, UMW Toyota Motor akhirnya mengumumkan bahawa tempahan untuk Toyota Vios serba baharu sudahpun dibuka. Tempahan boleh dibuat di semua pengedar sah Toyota di seluruh negara.
Vios akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 G dan 1.5 E bersama lima pilihan warna, dengan merah (Spicy Scarlet) menjadi warna baharu. Harga pula dijangka bermula bermula RM90,000 (1.5 E) dan RM96,000 untuk varian 1.5 G, (di atas jalan tidak termasuk insuran).
Model generasi keempat itu menerima perubahan yang sangat ketara dari segi rekaan luaran dan dalaman. Ia juga hadir dengan pelbagai ciri terkini untuk menawarkan pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan.

Tampil dengan bahasa rekaan baharu, Vios 2023 menyerlahkan gayaan sebuah fastback yang cukup sporty. Bahagian hadapan panjang, garis siluet di belakang, badan rendah, tapak roda panjang dan saiz tayar lebih besar nyata membuatkan sedan ini nampak menarik.
Jentera yang dibina di atas platform D92A baharu itu dikuasakan oleh enjin DOHC Dual VVT bersesaran 1.5 yang telah dipertingkatkan.
Mampu menjana 105hp dan tork 138Nm, kuasa tersebut disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT tujuh kelajuan bersama Sequential Shiftmaticyang menjanjikan pecutan lebih pantas serta menjimatkan bahan api.

Pemandu juga boleh memilih daripada tiga mode pemanduan iaitu Power, Eco dan Normal.
Masuk ke dalam kabin, Vios dilengkapi skrin infohibur 9 inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.
Antara ciri baharu yang disertakan termasuklah postur tunggangan lebih ergonomik, paddle shifter dan brek parkir elektronik. Tidak ketinggalan, material sentuhan lembut di seluruh kabin.

Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi pelbagai ciri seperti Lane Departure Prevention, Lane Departure Warning, Front Departure Alert, Pre-Collision System, Lane Keeping Control, Adaptive Cruise Control dan Auto High Beam.
Sama seperti model-model lain Toyota, Vios 2023 yang dipasang di kilang Toyota di Shah Alam hadir bersama jaminan selama lima tahun ranpa had perbatuan.
Pemilik juga akan menikmati program 24SEVEN Road Assist dan langganan sistem telematik Toyota secara percuma selama tiga tahun.
- BACA: TOYOTA YARIS ATIV (BACA VIOS) HIBRID AKAN DILANCARKAN DI THAILAND SUKU KE 3 2023
- BACA: TOYOTA VIOS 2023. 1.5L DUAL VVT-I, NAIK TARAF TSS, BAKAL LANCAR DI MALAYSIA PADA H1 2023
- BACA: TOYOTA LANCAR YARIS ATIV (VIOS) 2023 DI THAILAND. 4 VARIAN, 1.2L NA, BERMULA RM68K
- BACA: EKSPERIMEN TOYOTA VIOS JADI MESIN BAJAK SAWAH
GALERI







