
LECEH BETUL SOP UNTUK TUKAR KLAC FERRARI F50, KENA BUKA CESI BELAKANG
Ferrari merupakan satu jenama yang terkenal dengan kemewahan, kelajuan dan perlumbaan. Tapi pada masa yang sama ia merupakan sebuah jenama yang menyebabkan anda menggaru kepala apabila melihat prosedur standard bagi melakukan servis pada model mereka terutama bagi model tahun 1980an dan 1990an
Sebagai contoh Ferrari F50 yang ditunjukkan dalam video di bawah. Mungkin ia merupakan sebuah video lama tapi ia tetap mencabar minda bagaimana susahnya untuk formen menukar klac bagi Ferrari F50 ini. F50 merupakan sebuah model yang dikeluarkan antara tahun 1995 sehingga 1997 dalam kuantiti terhad sebanyak 349 unit sahaja.
Ia dikuasakan dengan menggunakan enjin aspirasi normal Tipo F130B 60 injap, V12 dengan sesaran 4700cc. Enjin ini menjana 512 kuasa kuda dan 421Nm tork dan dihantar ke roda belakang menerusi transmisi manual 6 kelajuan termasukah dengan sistem Limited Slip Differential.
Bagaimana anda menukar klac F50 ini? Ya Joe Macari Servicing merupakan pusat servis rasmi Ferrari di kota London menunjukkan sebuah video bagaimana klac F50 ditukar pada tahun 2017 secara time lapsed. Bagi proses servis ini, bahagian belakang F50 perlu dibuka sepenuhnya.
Ini temasuklah bampar belakang, tayar, sistem suspensi, ekzos bagi membolehkan mekanik mendapat akses kepada rear transaxle. Pendek kata hampir semua bahagian belakang F50 perlu diturunkan bagi membolehkan proses penggantian klac dilakukan dengan sempurna
Ya inilah kesusahan yang anda perlu hadap apabila anda menggunakan tetapan cesi enjin belakang pacuan belakang. Atas sebab ini jugalah kebanyakan kereta sport mampu milik akan menggunakan konfigurasi FR iaitu enjin depan pacuan belakang yang lebih senang untuk diservis, murah, mudah dan mudah memaafkan pemandu jika tersilap percaturan di selekoh



