Buletin

TOYOTA LANCAR YARIS ATIV (VIOS) 2023 DI THAILAND. 4 VARIAN, 1.2L NA, BERMULA RM68K

Peminat sedan segmen B di Thailand kini mempunyai satu lagi pilihan kerana Toyota baru sahaja mmelancarkan model generasi terkini Yaris Ativ atau lebih dikenali sebagai Toyota Vios di Malaysia.

Bersaing secara langsung dengan Nissan Almera serta Honda City, ia ditawarkan dalam empat varian pada harga berikut:

  • Yaris Ativ 1.2 Sport CVT : 539,000 baht (RM67,700)
  • Yaris Ativ 1.2 Smart CVT : 584,000 baht (RM73,352)
  • Yaris Ativ 1.2 Premium CVT : 659,000 baht (RM82,772)
  • Yaris Ativ 1.2 Premium Luxury CVT : 689,000 baht (RM86,540)

Sedan itu menggunakan khidmat enjin 3NR-VE bersesaran 1.2 liter aspirasi biasa (NA) berkuasa 94hp pada 6,000rpm dan tork 110Nm pada 4,400rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear Super CVT-i bersama ciri Sequential Shift.

Dibangun di atas platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture), dimensi Yaris Ativ adalah sepanjang 4,425mm, lebar 1,740mm, tinggi 1,480mm dengan jarak antara roda 2,620mm.

Yaris Ativ baharu sebenarnya sedikit panjang, lebar dan mempunyai jarak antara roda lebih panjang berbanding Vios lama. Jarak kelegaan tanah kini setinggi 160 mm, sementara radius putaran adalah 4.8 meter berbanding 5.1 meter pada model terdahulu.

Jentera itu masih lagi menggunakan sistem suspensi jenis topang MacPherson di hadapan dengan bar penstabil dan torsion beam di bahagian belakang, bersama  bar penstabil.

Sistem brek terdiri daripada gandingan cakera dan brek jenis gelendong di belakang. Hanya varian paling tinggi sahaja dilengkapi brek cakera di belakang.

Toyota Yaris Ativ hadir dengan beberapa kelengkapan standard seperti lampu depan LED, rim bersaiz 16 inci yang dibalut tayar bersaiz 195/60 R16, lampu belakang LED, roda stereng boleh laras empat cara, sistem kemasukan pintar tanpa kunci, skrin infohibur bersaiz lapan inci, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio dengan dua pembesar suara.

Ciri keselamatan pula merangkumi enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Sistem Kawalan Kestabilan, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, serta cagak ISOFIX.

Varian kedua terendah pula menerima ciri tambahan seperti skrin kluster digital TFT bersaiz tujuh inci, skrin infotainmen sembilan inci, slot pengecasan USB depan dan belakang.

Tidak ketinggalan, penambahan kamera depan, empat pembesar suara, serta pakej sistem keselamatan Toyota Safety Sense yang melibatkan Sistem Pra-Pelanggaran, Amaran Keluar Lorong dengan Bantuan Stereng, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan dan Sistem Perlindungan Pedal Pendikit.

Pembeli varian Premium pula akan menerima ciri-ciri seperti penapis udara PM2.5, corong pendingin hawa baris kedua, enam unit pembesar suara, kemasan hitam berkilat pada sesetengah tempat, lampu isyarat membelok sequential, upholsteri kulit berwarna perang dan Piano Black.

Di samping tambahan ciri keselamatan seperti Kawalan Jelajah Adaptif, Brek Parkir Elektrik dengan fungsi Auto Hold, sistem pemantauan keliling panorama, sistem amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, serta bantuan suluhan tinggi automatik.

Varian paling mewah (Premium Luxury) pula hadir dengan kemasan lebih premium. Tempat duduknya dibalut dengan kulit tulen dan sintetik berwarna merah, papan pemuka jenis soft touch, kemasan kulit berwarna merah pada panel pintu balutan, sistem pencahayaan ambien 64 warna dan sistem audio Pioneer dengan enam unit  pembesar suara.

GALERI

Google ads
Back to top button