Buletin

UD QUESTER EURO 5 DAN UD CRONER CKD DIPERKENALKAN, DILENGKAPI TEKNOLOGI SCR UD TRUCKS

UD Trucks melalui pengedar tunggalnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) baru-baru ini telah mengeluarkan unit-unit terawal model pemasangan tempatan (CKD) rangkaian trak Euro 5, merangkumi model tugas berat UD Quester dan tugas sederhana UD Croner.

Rangkaian trak Euro 5 UD Trucks mula dilancarkan pada suku keempat tahun lalu dan aktiviti pemasangan tempatan itu dijalankan di kilang Segambut oleh pihak Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA).

Ia menampilkan enjin Euro 5 serta dilengkapi teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) UD Trucks yang mampu meningkatkan aspek perlindungan alam sekitar dan penjimatan bahan api secara ketara.

Dengan teknologi ini, nitrogen oksida kini 60 peratus lebih kurang dan emisi partikel berkurang sebanyak 80 peratus berbanding tahap Euro 3.

Bukan itu sahaja, enjin Euro 5 juga lebih jimat minyak dan rendah emisi CO² berbanding trak Euro 3 yang sama.

AdBlue, satu bendalir ekzos diesel yang selamat untuk digunakan pada kenderaan dengan teknologi SCR dan berfungsi mengurangkan gas-gas berbahaya dilepaskan ke atmosfera boleh diperolehi di semua 26 cawangan dan pengedar TCIE di seluruh Malaysia.

UD Trucks bersama TCIE merupakan jenama Jepun pertama melancarkan, memasang trak tugas berat dan sederhana Euro 5, melebihi piawaian Euro 4 yang akan berkuat-kuasa mulai 1 April 2024 di Malaysia.

Menurut syarikat, pengeluaran CKD di kemudahan TCMA melibatkan aspek pemasangan kabin, kemasan, chasis serta pemeriksaan akhir trak berkenaan.

Syarikat juga memberitahu bahawa buat masa sekarang mereka telah menerima sejumlah tempahan daripada beberapa pelanggan logistik utama dan pengeluaran CKD sedia ada akan memenuhi permintaan tersebut.

Tambahnya lagi, unit pengeluaran akan ditingkatkan selari dengan permintaan baharu.

Google ads
Back to top button