PORSCHE PANGGIL SEMULA LEBIH 8000 UNIT 911 – CERMIN HADAPAN BERISIKO TERCABUT DALAM KEMALANGAN
Jarang-jarang kita dengar Porsche panggil semula kereta ni. Tapi itulah yang berlaku bila lebih 8000 unit 911 terpaksa dipanggil semula kerana masalah pada cermin hadapan. Ia kemungkinan besar boleh tercabut jika terlibat dalam kemalangan. Naya kalau berlaku macam tu.
Unit yang terlibat ialah 911 yang dikeluarkan dari tahun 2020 hingga tahun 2024 dan berjumlah 8101 unit kesemuanya. Laporan National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) tidak menyatakan dengan spesifik model mana yang terlibat.
Masalah dikesan pada pelekat yang digunakan untuk melekatkan cermin hadapan dan belakang model tersebut. Dikatakan permukaan sesetengah 911 terbait tidak cukup bersih sebelum dilekatkan dengan pelekat dan ditakuti akan menjejaskan kualiti pemasangan cermin tersebut.
Masalah tersebut dikesan Porsche November lepas dan selepas pemeriksaan dilakukan didapati terdapat beberapa bahagian pada cermin di mana pelekatnya telah tertanggal. Dibimbangi jika berlaku kemalangan, keseluruhan pelekat akan terjejas menyebabkan cermin hadapan tertanggal.
Rasanya tak ada siapa nak bayangkan macam mana jika ada cermin melayang di atas jalan raya kot? Ngeri weh.
Buat masa sekarang Porsche belum menerima sebarang laporan tentang cermin yang tertanggal. Moleklah macam tu daripada betul-betul berlaku. Porsche turut menjelaskan yang bunyi angin yang kuat dan kelembapan dalam mungkin berlaku akibat masalah yang disebutkan.
Penyelesaiannya agak mudah sebenarnya kerana kedua-dua cermin akan diperiksa dan diganti lain jika perlu. Prosesnya juga akan dilakukan dengan penuh teliti dengan tahap kebersihan yang lebih tinggi.
Surat panggilan kepada pemilik Porsche terlibat akan mula dihantar kepada pelanggan menjelang 13 Mac ini dan dijangkakan proses pemeriksaan akan bermula 26 April.
Fuh nasih baik duit tak cukup lagi nak beli Porsche. Kalau tak memang berdebar juga hati ini.