Buletin

UD TRUCKS HUB MALAYSIA, TCIE ANJUR KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA, LAWATAN MAYA KE ZOO SINGAPURA

Kakitangan dari UD Trucks Hub Malaysia dan Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) baru-baru ini telah menganjurkan satu program tanggungjawab sosial koporat (CSR) akhir tahun bertempat di Shelter Home, Petaling Jaya, Selangor.

Program selama setengah hari itu padat dengan pelbagai aktiviti, termasuklah kempen keselamatan jalan raya ‘memahami trak’, lawatan maya secara langsung ke Zoo Singapura dan program rakan pena dengan kanak-kanak dari rumah anak yatim di Filipina dan Jepun.

Shelter Home diwujudkan sejak tahun 1981 bagi membantu kanak-kanak yang didera, diabai atau berisiko yang  memerlukan tempat selamat untuk tinggal.

Selain itu, ia juga memberikan kanak-kanak berkenaan pendidikan dan sokongan kaunseling.

Untuk rekod, rumah itu kini menjadi kediaman kepada 35 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia dari lima hingga 18 tahun.

TCIE turut membawa trak tugas berat UD Quester untuk dipamerkan di acara tersebut bagi memberi pengalaman sebenar kepada kanak-kanak ini, sekali gus membantu mereka memahami risiko, langkah-langkah keselamatan di sekeliling trak. .

Anak-anak ini juga mengambil bahagian dalam pop kuiz ringkas tentang keselamatan jalan raya dan menerima beg hadiah selain, mengikuti aktiviti lawatan maya interaktif ke Zoo Singapura.

Menurut Pengurus Besar UD Trucks Hub Malaysia, Supriono Madayin, program rakan pena juga diadakan untuk kanak-kanak ini berkenalan dengan kawan-kawan baharu dari Filipina dan Jepun.

“Kami mengambil peluang ini untuk menghasilkan satu program rakan pena serantau dengan memadankan kanak-kanak ini dengan rakan-rakan mereka di negara lain berasaskan kepada kumpulan umur.

“Ia juga merupakan satu cara baik untuk bertukar-tukar nilai budaya dan memupuk semangat kepelbagaian di dalam diri mereka,” katanya.

Google ads
Back to top button