" "
Buletin

PROTON CATAT HASIL JUALAN 13,602 UNIT PADA FEBRUARI – S70 SEDAN SEGMEN C PALING POPULAR

Pengeluar kereta nasional, PROTON, meneruskan pertumbuhan positif apabila berjaya merekodkan hasil jualan sebanyak 13,602 pada Februari, termasuk jualan domestik dan eksport.

Jumlah jualan untuk dua bulan pertama tahun ini meningkat kepada 26,484 unit, mencatatkan penambahan sebanyak 3 peratus berbanding dengan tempoh sama pada tahun 2023.

Kejayaan ini menjadi lebih bermakna kerana biasanya jualan automotif cenderung lebih perlahan pada awal tahun selepas peningkatan jualan akhir tahun.

Menariknya, pada dua bulan pertama tahun 2024, jumlah volume industri (TIV) dianggarkan meningkat sebanyak 13.8 peratus kepada 129,353 unit, terutamanya disokong oleh kemasukan jenama baharu bagi kedua-dua pasaran kenderaan tradisional dan elektrik (EV).

PROTON dijangka memegang pasaran sebanyak 20.5 peratus, meletakkannya di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan jualan automotif negara.

Antara model PROTON yang menjadi tumpuan adalah Proton S70, menguasai segmennya dengan jualan melebihi 6,000 unit untuk lima bulan berturut-turut.

Dilancarkan pada hujung bulan November 2023, Proton S70 telah menerima sambutan hangat dari pembeli domestik dan antarabangsa.

Prestasi jualan yang meningkat sebanyak 60.5 peratus kepada 2,314 unit pada bulan Februari menandakan populariti kereta sedan segmen-C ini di pasaran Malaysia.

Menjelang sambutan Ramadan dan Hari Raya yang bakal tiba, dijangkakan prestasi cemerlang Proton S70 akan berterusan di Malaysia dan pasaran eksport pertamanya, Brunei.

Selain Proton S70, model lain juga menunjukkan prestasi yang mengagumkan. Proton Persona dan Proton X90 masing-masing terus menerajui kategori masing-masing dengan Proton Persona merekodkan jualan sebanyak 1,859 unit, manakala Proton X90 meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada 374 unit berbanding bulan sebelumnya.

Proton X50 berada di tempat kedua untuk SUV segmen-B pada bulan Februari, dengan jualan y sebanyak 1,816 unit.

Manakala Proton X70 meningkat sebanyak 19.6 peratus kepada 445 unit, dan Proton Iriz menambah 3.8 peratus kepada 543 unit.

Walaupun pengeluaran telah tamat untuk Proton Exora, ia bagaimanapun mencatatkan jualan 39 unit pada bulan Februari.

Sehingga kini, lebih daripada 194,250 unit telah dijual menjadikannya MPV segmen-C dengan jualan paling tinggi dalam sejarah automotif Malaysia.

Selain itu, pertumbuhan dalam volum jualan eksport turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan jualan PROTON.

Perniagaan eksport melonjak sebanyak 223 peratus kepada 346 unit pada bulan Februari berbanding bulan Januari, sementara pertumbuhan eksport sehingga kini berada pada 50.5 peratus, di mana 453 unit dijual ke pasaran luar negara setakat ini.

Google ads
Back to top button