UNIT TERAKHIR BUGATTI CENTODIECI TELAH DISERAHKAN KEPADA PEMILIK, HANYA 10 UNIT SAHAJA DALAM DUNIA
Bugatti telah memuktamadkan produksi bagi model super terhad Centodieci di mana unit terakhir (hanya 10 unit sahaja dihasilkan) telah pun selamat diedarkan kepada pemiliknya.
Unit terakhir itu menampilkan warna luaran putih yang digandingkan dengan aksen hitam serta kemasan biru cair untuk ruang kabin.
Walaupun diperkenalkan secara rasmi pada Ogos 2019, unit pertama Centodieci hanya muncul dari kilang Molsheim pada Jun 2022 setelah menjalani ujian yang sangat ketat.
Kesemua 10 unit yang menggunakan asas daripada Chiron itu direka sebagai satu penghormatan buat supercar EB110, dengan harga jualan €8 juta (RM37.70 juta).
Biarpun dengan harga jualan yang agak mahal, ia tidak menghalang Bugatti daripada terus menghabiskan jualan model tersebut.
Kesemua unit Centodieci dilengkapi dengan nadi W16 bersesaran 8.0 liter dengan bantuan empat unit turbo, menghasilkan kuasa setinggi 1,600 PS.
Dengan kesemua unit Centodieci telah diedarkan, ini membolehkan Bugatti memfokuskan kepada pengeluaran Chiron, diikuti 99 unit Mistral dan 40 unit Bolide – di mana kesemua unit yang disebutkan itu telah pun habis terjual!