Pandu Uji

PEUGEOT 2008 1.2 PURETECH ALLURE, SINGA YANG PALING BERGAYA

Crossover atau SUV menjadi default choice bagi kebanyakan pembeli kenderaan yang baru masa kini, ditawarkan dari saiz yang besar dalam segmen D, segmen C, sehinggalah ke segmen pertengahan seprti Segmen B dan juga bersaiz kompak seperti segmen A.

Jika anda mencari sebuah crossobver bersaiz kompak, maka pilihan yang popular semestinya Honda HR-V yang berada dalam segmen B. Ia sangat popular sehingga memaksa Toyota dan Proton melancarkan model Corolla Cross dan X50 bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Tapi jika anda bosan dengan pilihan yang ada, mungkin anda boleh memilih Peugeot 2008 1.2 Puretech Allure yang ditawarkan dengan harga sekitar RM 131,000. Model Peugeot 2008 ini sebenarnya telah memasuki generasi kedua, dilancarkan pada tahun 2019 dan mula dijual oleh Bermaz pada awal tahun 2022

Pada hemat penulis, 2008 merupakan model yang paling comel, paling sporti dan paling menarik jika dibandingkan dengan abangnya seperti 3008 dan juga 5008. Antara elemen yang menarik perhatian penulis ialah rekaan depan 2008 yang lebih vibrant dan menarik

Sama seperti model masakini, 2008 mengetengahkan idea floating grille yang lebih besar dan memanjang ke bawah. Jeriji depan ini diapit kemas dengan sepasang lampu depan LED dan juga LED DRL terbina dalam dengan rekaan 3D Claw Design.

Kemasan skid plate yang berwarna perak dan krom berwarna gelap mengemaskan lagi rekaan 2008 agar lebih moden. Banyak elemen rekaan dan garisan yang digunakan tiada pada model 3008 dan 2008

Jika anda membuka hud depan, 2008 juga dipasang dengan enjin 1200cc 3 silinder turbo serba baru yang menjana sehingga 130 kuasa kuda dan 230Nm tork dari seawal 1750 RPM. Ia merupakan enjin yang lebih moden daripada unit Prince 4 silinder 1600cc turbo.

Untuk pasaran di luar negara, enjin 3 silinder ini dipadankan dengan transmisi baru 8 kelajuan automatik berbanding dengan 6 kelajuan automatik yang dijual di sini. Kedua dua tranmisi ini dibekalkan oleh Aisin akan memacu tayar depan Peugeot 2008

Elemen rekaan sisi 2008 juga lain daripada yang lain dengan mengenakan rekaan diamond cut pada pintu depan dan belakang berbanding denganteknik biasa yang menggunakan shoulder line.

Ia dikemaskan lagi dengan kemasan warna hitam berkilat pada tiang B dan C, satu kemasan hitam berkilat pada bucu tiang A yang bersambung dengan hud enjin, rel bumbung dengan warna gelap dan juga rim 17 inci dengan rekaan Salamanca Alloy. Jarak kelegaan dengan permukaan jalan juga ditambah menjadi 174mm

Lampu belakang juga direka dengan menarik, seolah-olah perumah lampu dibuat seakan-akan spoiler terbina dalam pintu ruang kargo belakang. Ia menggunakan tema 3D Claw Design dengan 3 lampu LED yang cukup menarik serta lampu isyarat membelok

Di bahagian bawah bampar anda akan menemui sepasang ekzos yang berfungsi (bukan palsu) dan kemasan krom berwarna perak. Bagi anda yang berminat, pintu ruang kargo belakang boleh dipasang dengan motor elektrik bagi membarikan akses untuk ruang sebesar 405 liter

Jika kusen belakang dilipat, ia boleh memberikan ruang sebesar 1476 liter, cukup besar jika anda memerlukan ruang untuk berpindah rumah. Penyandar tempat duduk belakang juga ditapkan pada sudut yang cukuo selesa untuk perjalanan jarak jauh.

Tapi sayangnya ia tidak diberikan perehat kepala bagi penumpang yang duduk di tengah barisan kedua, tiada corong penyaman udara, tiada poin USB untuk penumpang belakang dan tiada perehat tangan terbina dalam

Tapi jika anda duduk di bahagian depan, persepsi pertama yang anda dapat ialah rekaan Peugeot i-Cockpit 2008 cukup luas, moden dan futuristik. Apatah lagi dengan rekaan meter yang menampilkan rekaan 3D hologram yang cukup unik serta senang dibaca dengan menggunakan skrin 10 inci.

Skrin multimedia pula diberikan saiz sebesar 7 inci yang boleh digunakan untuk mengawal penyaman udara, sistem multimedia, tetapan sistem keselamatan kenderaan dan pelbagai ciri lain.

Bagi memudahkan pengguna, suis fizikal turut diberikan untuk menghidupkan dan mematikan penyaman udara. Ciri-ciri moden lain seperti Apple Car Play dan Android Auto turut disediakan di sini selain 2 poin USB

Saiz roda stering pula dikecilkan agar pemandu boleh melihat di atas stering (bukannya melalui bahagian tengah seperti biasa. Konsol tengah pula direndahkan bagi menghasilkan ruang yang lebih besar serta diberikan rekaan tombol gear baru yang lebih mesra pengguna

Pengalaman Pemanduan

1. Berat kereta 2008 hanyalah sekitar 1225kg sahaja, atau secara anggaran 100kg lebih berat berbanding dengan sedan dalam segmen B. Tapi kuasa enjin 3 silinder turbo ini memang cukup kuat dengan tork menerjah masuk seawal 1750RPM

Jika anda berada di laluan kanan lebuh raya pada halaju 110km/jam, 2008 boleh pergi lebih laju dengan hanya menekan pedal minyak dengan lebih kuat. Jadi dari jauh 2008 dengan lampu LED DRL ini nampak seakan-akan ingin menerkam anda dari belakang, kebanyakan kereta akan memberikan laluan anda dengan mudah tanpa banyak soal

Terdapat 3 mode pemanduan yang disediakan iaitu Economy, Normal dan juga Sport. Mode Sport akan memberikan respon enjin yang lebih tangkas dan tindakbalas stering yang lebih ketat.

Pada kebanyakan masa penulis kekal dengan mode Normal samaada di lebuhraya ataupun di laluan bandar. Secara purata penulis mendapat bacaan petrol sekitar 14km bagi setiap liter petrol dengan purata halaju 130-140km/jam, 4 penumpang, di laluan bandar dan juga membawa muatan penuh

2. 2008 juga diberikan dengan 4 brek cakera, dengan kuasa membrek yang cukup. Tapi pada hemat penulis, jika kuasa brek lebih menggigit adalah lebih bagus. Untuk membantu mendapat cengkaman di selekoh, anda boleh bermain dengan penukar gear Shiftronic yang ada pada tombol gear

3. Common Modular Platform yang digunakan oleh 2008 direka dengan sistem suspensi torsion beam di bahagian belakang. Namun jika anda membawa 2008 bersilat di selekoh, bahagian belakang akan terasa kemas dan ketat bagi memberikan anda keyakinan dengan pengendalian

4. Apatah lagi maklumbalas sistem stering 2008 cukup bagus, ia tidak menggelabah di selekoh dan tenang d laluan lurus. Cuma sistem suspensi yang digunakan rasanya ditala dengan fokus untuk pemanduan sporti. Pada perkiraan penulis, suspension travel adalah agak pendek bagi sebuah Crossover

Jadi apabila melalui jalan tidak rata, pemandu dan penumpang akan terasa seperti sedikit melambung dan kurang selesa. Pada halaju 110km/jam, penulis mendapat anggaran bunyi sekitar 69dB satu nilai yang agak kuat bagi sebuah kereta keluarga

Satu perkara yang boleh dipuji dengan 2008 ialah aspek keselamatan yang cukup lengkap, jauh meninggalkan model 3008 dan juga 5008. Ia dipasang dengan sistem amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran AEB, sistem amaran titik buta, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Auto High Beam dan juga Driver Attention Alert.

Bagi sistem AEB, penulis cukup suka dengan cara sistem ini memberi amaran. Jika anda terlalu rapat dengan kereta depan, meter 3D hologram tadi akan bertukar menjadi warna oren meminta anda memberi perhatian. Jika dirasakan bahaya, meter akan bertukar menjadi merah dan brek kecemasan akan diaktifkan dengan segera

Paling bagus ialah sistem Lane Departure Warning dan juga Lane Departure Prevention yang digunakan oleh 2008. Jika anda di laluan lurus, sistem ini dengan pantas membetulkan stering ke laluan asal jika anda terlajak melalui garisan jalan.

Tapi jika anda sedang melalui selekoh yang kadang kala anda akan melintasi garisan jalan tanpa sengaja, sistem ini akan memaafkan anda. Ia tidak akan berbunyi di selekoh dan hanya kembali diaktifkan secara automatik di laluan lurus

Bagi penulis, jika anda mencari sebuah crossover dalam segmen B dan ingin mencari kelainan 2008 menawarkan sebuah crossover dari jenama Continental pada harga yang munasabah.

Dengan jaminan selama 5 tahun dan juga servis percuma (termasuk alat ganti dan minyak pelincir) selama 5 tahun oleh Bermaz sehingga 100,000km, anda tidak perlu runsing dengan Peugeot 2008 1.2 PureTech Allure. Kalau anda seorang yang ada taste, memang tak salah memilih Peugeot 2008.

Google ads
Back to top button