
TESLA UK TAWAR PENGECASAN PERCUMA HINGGA 10,000 KM UNTUK PEMBELI BAHARU
Tesla UK kini menawarkan pakej pengecasan percuma Supercharger sehingga 6,000 batu (atau 9,656 km) untuk golongan pembeli yang menerima kenderaan masing-masing sebelum tahun 2022 melabuhkan tirainya.
Tawaran tersebut hanya sah bermula 15 hingga 31 Disember ini, dan ia tidak boleh dipindah milik kepada sesiapa atau kenderaan lain.
Berdasarkan satu mesej yang diterima oleh salah seorang pemilik Tesla di forum Tesla Motor Club, Tesla menawarkan pakej percuma itu sebagai tanda penghargaan kerana berjaya memiliki sebuah EV Tesla sebelum tahun 2022 tamat.
Pengecasan percuma sebanyak hampir 10,000 km boleh diakses menerusi lebih 10,000 fasiliti Superchargers di sekitar Eropah.
Berdasarkan komen daripada salah seorang ahli forum, antara masalah yang timbul dengan penawaran ini ialah tempoh masa yang dihadkan selama dua tahun sahaja.
Walaupun kebanyakan pemilik Tesla cenderung untuk memandu pada jarak jauh, majoriti mereka mengecas EV masing-masing di rumah dan tidak memerlukan jaringan pengecasan Supercharger disebabkan kereta Tesla mempunyai jarak gerak yang lebih jauh berbanding EV lain.
“Saya mendapat pengecasan percuma sebanyak 1,600 km sejak membeli kereta saya, dan mendapat tambahan 1,600 km lagi apabila saya merujuk orang lain untuk membeli sebuah Tesla.
“3,200 km pengecasan percuma untuk digunakan dalam tempoh 18 bulan. Ia merupakan satu bonus yang menarik, namun agak sukar untuk menghabiskan kuota yang telah ditetapkan. Anda juga harus memantau tarikh luput penawaran ini.” – Autocar