Buletin

VAN PUTIH & SINDIKET CULIK KANAK-KANAK ADALAH PALSU – PDRM

Anda mungkin pernah menerima mesej tentang van putih dan sindiket menculik kanak-kanak yang dikatakan akan membelah organ dalaman kanak-kanak untuk diseludup.

Sebenarnya, ia bukanlah cerita baru dan kerap dikongsi di laman sosial mahupun group whatsapp. Berita ini sebenarnya tidak benar sama sekali dan telah beberapa kali dinafikan oleh pihak polis.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi menafikan penularan berita palsu kononnya terdapat sindiket di negara ini menggunakan van putih aktif menculik kanak-kanak bagi tujuan penjualan organ dalaman.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, orang ramai dinasihatkan tidak menyebar serta berkongsi berita palsu sedemikian kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman awam dan membangkit keresahan masyarakat.

Katanya, selain itu adalah mustahil bagi pemandu van putih sebagaimana maklumat yang tular itu mampu menjalankan pembedahan pemindahan organ kerana ia memerlukan prosedur pembedahan.

“Polis sudah beberapa kali membuat kenyataan bahawa tidak wujud kegiatan sedemikian di negara ini namun berita seperti itu masih ditularkan.

“Masyarakat perlu tahu pemindahan organ hanya boleh dibuat pakar perubatan dan bukan sembarangan orang termasuk pemandu van putih yang sering ditularkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, individu yang dikesan menyebar berita palsu boleh disiasat serta didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

KREDIT:HARIAN METRO

Google ads
Back to top button