Buletin

SUZUKI JIMNY BARU DAH SAMPAI! HARGA BERMULA RM168K!

Sejak hak edaran kenderaan Suzuki dilepaskan oleh Kumpulan DRB-HICOM, tiada lagi model-model baru Suzuki yang di bawa masuk ke pasaran Malaysia.

Kali terakhir, model baru yang diperkenalkan ialah Swift. DRB-HICOM juga pernah perkenalkan Jimny generasi sebelum dan sebenarnya mereka juga pernah membawa masuk Grand Vitara, SX-4 dan juga Kizashi.

Namun dengan permintaan yang perlahan, kereta-kereta jenama Suzuki tidak mampu bertahan dan sehingga kini ia semakin hilang dalam radar.

Apa cerita dengan Jimny baru?

Ya. Meskipun tiada lagi pengedar rasmi di Malaysia, Jimny telah mula dibawa masuk oleh pengedar kereta recond. Pagi tadi kami ternampak iklan kereta ini, Jimny yang dijual oleh salah satu pengimport kereta recond tempatan – Hamza Motor.

Dengan segera, kami menghubungi pengedar yang terletak di Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklumat lanjut. Menurut salah seorang wakil Hamza, kenderaan ini masih dalam perjalanan pulang dari Jepun. Ia adalah versi pertama keluaran 2018 yang dibenarkan diimport masuk sebagai kenderaan import terpakai.

Kepada anda yang mungkin kurang arif dengan kenderaan recond, kebenaran mengimport masuk hanya tertakluk pada kenderaan yang berusia lebih 1 tahun tetapi tak lebih 5 tahun.

Jadi berapakah harganya?

OK. Ini soalan yang bagus. Memandangkan ia diimport terus dari negara Jepun, mereka membawa masuk spesifikasi K-car iaitu 660cc turbo tetapi dalam masa yang sama, turut membawa masuk pilihan 1500cc empat selinder yang biasa. Kedua-duanya ditawarkan dalam pilihan transmisi automatik dan juga manual lima kelajuan.

Bagi model 660cc turbo, harga jualannya ialah RM168,000 dan bagi model 1.5L pula, harga jualannya ialah RM198,000. Kali terakhir Jimny di jual di Malaysia ialah RM87,000 untuk transmisi manual lima kelajuan dan RM92K untuk transmisi automatik empat kelajuan.

Untuk rekod, model ini telah dijual secara rasmi di Thailand pada harga RM199,000 (1.65Juta Bhat) dan di Singapura harganya ialah RM347,000 (SGD114,000).

Ya. Jimny generasi baharu ni memang mahal!

GALERI

Google ads
Back to top button