
VIDEO ISI MINYAK TULAR, PEMANDU TESLA MODEL Y BERI PENJELASAN
Tular satu video di laman sosial Twitter yang memaparkan seorang pemilik EV Tesla Model Y yang sedang cuba mengisi minyak pada kereta elektriknya.
Malah, pemandu muda itu dilihat cuba untuk mencari di mana lokasi penutup tangki bahan api sambil memegang nozel minyak, sebelum mengalah apabila diberitahu berkali-kali ia adalah sebuah EV.
Video itu turut mengundang komen-komen yang negatif terhadap pemandu EV tersebut, dan ada yang menggelarnya sebagai ‘bodoh’.
CEO Tesla Elon Musk memberikan respon dengan menyebut ‘ia berlaku dari semasa ke semasa’ dan ‘tabiat lama sukar dibuang’.
Disebabkan video itu kian popular, pemilik sebenar Tesla Model Y, Danielle Wright, 22 tahun tampil memberikan penjelasan.
Bercakap kepada Daily Star, Danielle menyebut beliau berdepan dengan hari yang sukar sewaktu kejadian itu berlaku.
“Sejujurnya saya tidak tahu apa yang saya buat. Ia adalah penghujung hari yang panjang dan kereta itu serba baharu.
“Saya hanya singgah stesen minyak kerana memikirkan gula-gula yang saya mahu beli dari kaunter, berbanding fakta di mana kereta saya langsung tidak memerlukan petrol.
Danielle juga kesal dengan sesetengah komen yang dilontarkan walaupun beliau mengakui itu kesilapan yang memalukan.
“Mereka turut berkata itu bukan kereta saya, ini hal yang sangat mengecewakan. Ia benar-benar impian menjadi kenyataan untuk memiliki sebuah Tesla,” ujarnya lagi. – InsideEVs








