
TESLA MODEL Y VERSI MURAH MUNCUL – REKAAN LEBIH RINGKAS, TIADA SKRIN BELAKANG
Beberapa gambar intip dalaman yang didakwa milik varian baharu Tesla Model Y telah tersebar dalam talian.
Imej-imej ini menunjukkan Tesla sedang bersiap sedia memperkenalkan versi lebih mampu milik bagi SUV elektrik popular mereka, dengan pelbagai perubahan yang bertujuan mengurangkan kos pengeluaran.
Semasa sidang kewangan suku kedua baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, menjelaskan bahawa ‘Tesla bajet’ yang telah lama diperkatakan bukanlah model baharu sepenuhnya, sebaliknya varian daripada Model Y sedia ada.
Menurut laporan media automotif China, Yiche, model ini kini telah pun memasuki fasa pengeluaran dan dijangka mula dipasarkan pada suku keempat tahun 2025.

Dari segi reka bentuk dalaman, beberapa elemen telah digugurkan bagi menjimatkan kos. Ciri bumbung kaca panoramik dan skrin hiburan untuk penumpang belakang tidak lagi disediakan.
Bahagian perehat tangan di tengah hadapan turut direka semula dengan pendekatan ‘pass-through’ untuk memberi lebih ruang dan kepraktisan dalam kabin.
Namun begitu, tuas kawalan pada tiang stereng masih dikekalkan dan sistem penukaran gear berasaskan skrin seperti model semasa dijangka masih digunakan.
Penyesuaian juga dilihat pada rekaan luaran. Jalur lampu LED berterusan di bahagian hadapan telah digantikan dengan rekaan lampu utama yang diposisikan lebih tinggi, memberikan rupa lebih hampir kepada Tesla Model 3.

Bahagian belakang pula dijangka tidak lagi menampilkan jalur reflektor tengah seperti sebelum ini, sekaligus menyederhanakan rekaan dan mengurangkan kos pembuatan.
Pada separuh pertama 2025, Model Y terus mengungguli pasaran sebagai model paling laris dalam kategori harga melebihi 250,000 yuan (sekitar RM160,000) di China, dengan jualan mencecah 171,491 unit.
Namun, kelebihan tersebut semakin mengecil. Dalam julat harga yang sama, Xiaomi SU7 telah menjual 155,692 unit, manakala model YU7, dilancarkan pada 26 Jun, mencapai angka luar biasa sebanyak 200,000 unit dalam masa singkat.
Dalam keadaan pesaing seperti XPeng, Li Auto dan Nio (Onvo) bersedia melancarkan model baharu yang kompetitif pada separuh kedua tahun ini, Model Y kini tidak lagi dianggap sebagai pilihan paling berbaloi dari segi nilai untuk wang di China.
Oleh itu, pelancaran versi bajet Model Y dilihat sebagai langkah penting bagi Tesla kekal bersaing dalam pasaran EV yang semakin sengit.






