Buletin

PENGGUNA MENYESAL BELI CYBERTRUCK? NILAI JATUH TERUK, TESLA DIBOIKOT!

Walaupun Tesla Model Y dinobatkan sebagai kereta baharu paling laris di dunia tahun lalu, permulaan tahun 2025 menyaksikan perjalanan yang sukar buat syarikat kenderaan elektrik (EV) gergasi dari Amerika Syarikat itu.

Kemelut yang dicetuskan oleh kenyataan dan tingkah laku kontroversi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk, telah mencetuskan bantahan global, digelar sebagai “Tesla Takedown”, di mana pengguna dari lebih 250 bandar di seluruh dunia memilih untuk memboikot jenama tersebut.

Situasi semakin rumit apabila Cybertruck — trak pikap berpenampilan futuristik yang suatu ketika dahulu digembar-gemburkan sebagai bakal merevolusikan pasaran — kini berdepan dengan cabaran mendapatkan pembeli.

Meskipun Tesla pernah mendakwa menerima lebih sejuta tempahan awal, kini dilaporkan terdapat hampir 2,400 unit Cybertruck yang belum dijual, dengan nilai dianggarkan mencecah AS$200 juta.

Laporan turut menyebut bahawa Tesla kini tidak menerima Cybertruck sebagai kenderaan tukar beli, malah terdapat pemilik yang mendakwa terpaksa menggunakan undang-undang Lemon Law bagi memulangkan semula trak mereka kepada syarikat.

Untuk rekod, jualan bulanan Cybertruck hanya mencapai kemuncak sekitar 5,300 unit pada September tahun lalu, sebelum menjunam.

Sehingga kini, hanya 46,000 unit telah dihantar kepada pelanggan — satu angka yang jauh dari sasaran awal syarikat.

Tambahan pula, penarikan semula (recall) besar-besaran baru-baru ini membabitkan hampir semua unit yang telah dijual, memburukkan lagi persepsi terhadap kualiti model berkenaan.

Kemerosotan ini tidak hanya berpunca daripada permintaan yang lesu, tetapi juga berkait rapat dengan keputusan Elon Musk untuk terbuka menyokong tokoh politik kontroversi, termasuk bekas Presiden Donald Trump, serta penglibatan beliau dalam pertubuhan DOGE — sebuah entiti yang dikatakan melemahkan pelbagai institusi awam penting di Amerika.

Ini telah mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan pembeli yang enggan dikaitkan dengan pandangan politik Musk.

Disebabkan itu, ramai pemilik Tesla kini dilapor cuba melepaskan kenderaan mereka, namun dengan nilai jualan semula yang semakin merosot, usaha itu tidak mudah.

Harga Cybertruck terpakai telah jatuh sebanyak 55 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan terus menurun 13 peratus dalam tempoh tiga bulan terakhir. Dalam sebulan kebelakangan ini sahaja, kejatuhan harga mencecah 6 peratus.

Lebih mengejutkan, bukan sahaja Tesla tidak mahu menerima semula Cybertruck sebagai tukar beli, malah pengedar kereta terpakai lain juga enggan membeli model tersebut atau hanya menawarkan harga yang sangat rendah, sambil menanti pasaran menetap.

Ketika pasaran saham terus bergolak akibat tarif baru yang diperkenalkan pentadbiran Trump dan imej Musk semakin terpalit dengan pelbagai kontroversi, masa depan Tesla tampak lebih tidak menentu berbanding sebelum ini.

Sama ada jenama ini mampu bangkit semula atau terus tenggelam dalam gelombang boikot global, hanya masa akan menentukan.

Google ads
Back to top button