Buletin

PERANG DINGIN TRUMP DAN MUSK: TESLA MODEL S JADI MANGSA!

Selepas mengangkat Tesla sebagai simbol inovasi di laman Selatan Rumah Putih hanya beberapa bulan lalu, Donald Trump kini dilaporkan mahu menjual kereta elektrik Model S merah miliknya.

Langkah itu hadir sehari selepas pertelingkahan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, yang juga sebelum ini merupakan penasihat rapat Trump.

Seorang pegawai Rumah Putih mengesahkan pada 6 Jun bahawa Trump sudah tidak berminat lagi dengan Tesla Model S yang dibelinya pada bulan Mac, ketika itu sebagai tanda sokongan terhadap syarikat tersebut susulan beberapa insiden vandalisme yang menyasarkan bilik pameran Tesla di seluruh negara.

Kereta berkenaan, yang dianggarkan bernilai sekitar AS$80,000 (kira-kira RM376,000), masih berada di kawasan parkir Rumah Putih.

“Saya amat kecewa dengan Elon,” kata Trump menerusi Truth Social, sambil menambah bahawa beliau telah meminta Musk untuk berundur dari jawatannya sebagai Ketua Jabatan Kecekapan Kerajaan.

Pertikaian tercetus selepas Musk mengkritik keras rang undang-undang cukai dan perbelanjaan Trump, dengan menyifatkannya sebagai “menjijikkan” serta menggesa rakyat Amerika untuk menolak undang-undang tersebut.

Trump pula mendakwa kemarahan Musk berpunca daripada pengguguran subsidi kenderaan elektrik dalam rang undang-undang itu, satu insentif yang sebelum ini memberi manfaat besar kepada Tesla.

Ketegangan semakin memuncak apabila Musk mendakwa Trump terlibat dalam dokumen sulit berkaitan Jeffrey Epstein — tokoh kewangan yang dikaitkan dengan pelbagai skandal seksual. Tuduhan itu dikatakan menjadi titik putus hubungan antara kedua-dua tokoh.

“Tiada sebarang komunikasi dirancang dengan Musk buat masa ini,” kata seorang lagi pegawai Rumah Putih kepada USA Today.

Sepanjang tempoh khidmatnya dalam pentadbiran Trump, Musk turut menjadi sasaran kritikan kerana pemotongan besar-besaran dalam bajet dan tenaga kerja kerajaan persekutuan, yang mencetuskan protes ‘Tesla Takedown’.

Beberapa pemilik Tesla dilaporkan menjadi mangsa gangguan, manakala bilik pameran Tesla diserang vandalisme.

Saham Tesla turut terkesan, menjunam 15 peratus pada 11 Mac, kejatuhan harian terbesar dalam tempoh lima tahun.

Selepas konflik 6 Jun itu, saham Tesla jatuh lagi 14 peratus namun kembali meningkat 5 peratus pada pagi Jumaat, diniagakan sekitar AS$300 (kira-kira RM1,410) di NASDAQ pada jam 10:50 pagi.

Kini, Model S merah milik Trump bukan sahaja kehilangan nilainya, malah menjadi simbol perpecahan antara dua tokoh berpengaruh dunia, dan mungkin bakal dilelong sebagai satu babak terakhir dalam drama politik teknologi Amerika.

Google ads
Back to top button