
VINFAST RUGI BESAR LAGI – VINFAST SEMAKIN KE LAUT DALAM PERLUMBAAN EV!
Pembuat kenderaan elektrik Vietnam, VinFast, merekodkan kerugian suku ketiga yang semakin besar selepas meningkatkan perbelanjaan untuk memperluas operasi serta merangsang jualan di Asia Tenggara.
Untuk rekod, saham syarikat itu jatuh sekitar 12 peratus selepas laporan kewangan dikeluarkan.
Sepanjang suku berkenaan, VinFast memeterai dua kemudahan pinjaman bernilai keseluruhan AS$250 juta (kira-kira RM1.16 bilion) sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan agresif bagi mengembangkan kehadiran di peringkat antarabangsa, meskipun berdepan tekanan tarif dan permintaan yang lemah di Amerika Syarikat.
Namun, langkah menambah hutang boleh memberi tekanan tambahan kepada margin syarikat yang masih menanggung kerugian, pada masa sama VinFast cuba mengurangkan kos melalui peralihan kepada model rangkaian pengedar dan pengoptimuman rantaian bekalan.

Menurut penganalisis Third Bridge, Izabella Yan, walaupun VinFast kini mengalihkan fokus ke pasaran Asia dan kurang memberi tumpuan kepada AS serta Eropah, syarikat itu masih menghadapi persaingan hebat daripada Tesla dan pengeluar EV China, terutama kerana harga model premium VinFast sukar ditandingi dalam segmen tersebut.
Kerugian suku ketiga meningkat kepada 24 trilion dong (AS$910.85 juta / kira-kira RM4.2 bilion) berbanding 13.25 trilion dong pada tempoh sama tahun lalu.
Margin kasar pula merosot kepada negatif 56.2 peratus, daripada negatif 24 peratus sebelumnya, didorong peruntukan jaminan lebih tinggi serta kos pengeluaran dan jualan kenderaan yang meningkat.
Dalam panggilan persidangan, pihak pengurusan berkata strategi syarikat bagi Q3 2025 kekal tertumpu pada meningkatkan hasil.
Mereka turut menjangkakan sumbangan lebih besar daripada pasaran antarabangsa pada suku keempat, terutama dari India selepas kilang baharu di negara itu mula beroperasi awal tahun ini.
Penghantaran e-skuter dan e-basikal turut melonjak lebih enam kali ganda, di mana sebahagiannya didorong pengumuman kerajaan Hanoi untuk mengharamkan motosikal berenjin petrol di pusat bandar mulai pertengahan 2026.
Secara keseluruhan, VinFast mencatatkan hasil sebanyak 18.1 trilion dong (hampir AS$685 juta / kira-kira RM3.15 bilion) bagi suku tersebut, peningkatan hampir 47 peratus berbanding tahun sebelumnya.
- BACA: GWM CANNON 2026 DILANCARKAN – PILIHAN DIESEL 480NM, 9 MOD PEMANDUAN, HARGA BERMULA RM66,000
- BACA: KRONREIF & TRUNKENPOLZ MATTIGHOFEN DENGAN RASMINYA JADI MILIK BAJAJ
- BACA: XPENG NAVIGATION GUIDED PILOT, LAGI SELAMAT, SOPAN DARI MANUSIA
- BACA: HYUNDAI PUKAU DENGAN CRATER CONCEPT – PERTARUH REKA BENTUK OFF-ROAD MASA DEPAN








