Buletin

PROJEK EV BYD DAN VINFAST DIGANGGU SAMSENG DI INDONESIA. NAK ‘PAU’ SAMPAI RM1.3 BILION!

Usaha Indonesia untuk muncul sebagai hab utama kenderaan elektrik (EV) di Asia Tenggara kini dicemari semula oleh isu lama, iaitu ‘premanisme’ atau gangsterism.

Akhbar South China Morning Post (SCMP) melaporkan perkara ini dengan tajuk pedas: “Indonesia’s EV revolution held hostage by ‘preman’ gangster problem.”

Laporan itu menyebut bahawa dua pelabur asing utama dalam sektor EV – BYD dari China dan VinFast dari Vietnam turut mengalami gangguan daripada kumpulan-kumpulan samseng semasa projek pembinaan kilang mereka dijalankan.

Perkara ini mendapat perhatian ramai selepas Timbalan Ketua MPR RI, Eddy Soeparno, menyuarakan kebimbangannya terhadap gangguan tersebut ke atas projek bernilai AS$1 bilion (kira-kira RM4.8 bilion) milik BYD di Subang, Jawa Barat.

Menurutnya, kegiatan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja menyulitkan proses pelaburan, tetapi turut memberi kesan negatif kepada reputasi Indonesia di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan perlu tegas. Ini bukan semata-mata soal projek, tetapi melibatkan kredibiliti negara di mata pelabur global,” katanya.

VinFast juga dikatakan berdepan masalah sama dalam pembinaan kilangnya yang dianggarkan bernilai AS$200 juta (kira-kira RM960 juta) di lokasi berdekatan.

Ketua Staf Kepresidenan dan juga Pengerusi Persatuan Industri Kenderaan Elektrik Indonesia, Moeldoko, mengakui beliau sendiri terpaksa turun padang dan berunding dengan pemimpin masyarakat setempat.

“Ironinya, ketika negara sedang mencari peluang pekerjaan untuk rakyat, ada pula pihak menghalang pelabur yang mahu membuka peluang kerja,” katanya.

Walau bagaimanapun, kedua-dua syarikat berkenaan menegaskan bahawa pembangunan masih berjalan seperti dirancang, sambil mengekalkan hubungan baik dengan komuniti setempat serta mematuhi undang-undang tempatan.

Menteri Pelaburan dan Hiliran, Rosan Roeslani, memaklumkan bahawa kerajaan telah berhubung dengan pihak polis dan kerajaan tempatan bagi memastikan kelancaran projek EV ini.

Malah, Panglima Kopassus, Jeneral Djon Afriandi, turut menyuarakan gesaan agar tindakan tegas diambil terhadap pihak yang mengganggu pembangunan negara.

Google ads
Back to top button