
INDONESIA MAHU KERETA NASIONAL ELEKTRIK, PAKAR CADANG TIRU FORMULA VIETNAM
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menyatakan hasrat agar negaranya memiliki kereta nasional sendiri, khususnya kenderaan elektrik berasaskan bateri.
Dalam usaha merealisasikan impian tersebut, pakar industri mencadangkan Indonesia mencontohi kejayaan Vietnam dalam membangunkan kenderaan elektrik buatan tempatan.
Vietnam kini dikenali sebagai antara negara terkehadapan dalam rantau ini yang berjaya menghasilkan kereta elektrik sendiri melalui jenama VinFast.
Malah, syarikat tersebut telah mula mengeksport ke beberapa negara, termasuk Indonesia, dengan pelbagai model yang telah diperkenalkan.

Menurut Pengasas National Battery Research Institute, Prof. Evvy Kartini, kejayaan Vietnam tidak berlaku secara kebetulan. Ia didorong oleh dasar kerajaan yang konsisten serta komitmen tinggi dalam membina ekosistem EV tempatan.
“Kalau kita mahu hasilkan sesuatu, kita perlu fokus dan pastikan selesai dari peringkat huluan terlebih dahulu. Semua ini bergantung kepada dasar yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau menjelaskan, adalah penting untuk kerajaan meneruskan dasar dan pelan tindakan berkaitan EV yang telah dirangka oleh pentadbiran sebelumnya.
Perubahan dasar yang terlalu kerap hanya akan menyukarkan pelabur dan memperlahankan pembangunan industri.
“Di Vietnam, proses kelulusan dan regulasi lebih mudah dan tidak membebankan. Sedangkan di Indonesia, terlalu banyak agensi terlibat dan syarat yang berbeza-beza antara kementerian. Hal ini mengelirukan dan melambatkan proses pembangunan,” jelas Prof. Evvy.
Selain aspek dasar, beliau turut menekankan keperluan untuk melibatkan tenaga kerja yang benar-benar berkemahiran tinggi dalam bidang berkaitan. Vietnam, katanya, tidak teragak-agak untuk mengambil pakar luar negara bagi membangunkan industri mereka.
“Contohnya, bagi projek bateri, mereka lantik pakar dari Korea Selatan sebagai pengarah dan membina kilang dari kecil hingga menjadi besar,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan yang teratur, menyeluruh dan berpaksikan kepakaran adalah kunci kejayaan Vietnam dalam sektor EV.
Indonesia, menurutnya, mempunyai potensi besar namun memerlukan penyelarasan dasar serta pelaburan dalam pembangunan sumber manusia sekiranya ingin mencapai kejayaan serupa.







